norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Nazeera Sardi, 39, meluahkan perasaan rindu mendalam terhadap ibu tercinta, Allahyarham Siti Nginah Bero, 79, yang meninggal dunia, kira-kira sebulan lalu.
Menerusi perkongsian hantaran di Instagram (IG), Nazeera memuat naik kira-kira 20 foto bersama arwah ibunya yang memaparkan aktiviti mereka bersama sebagai mengingati memori indah yang kini tinggal kenangan.
“Sebulan dah berlalu, Ramadan pun sayu kerana Ramadan kali ini penuh rindu. Rasa rindu suara, kerlingan dan rajuk. Semualah.
“Mak.. pinjamkan semangat mak untuk kami meneruskan hidup. Walaupun yang tinggal hanyalah kenangan untuk dikenang, tapi tidak mungkin berulang,” tulisnya pada hantaran sedih itu.
Kata pelakon filem Pagari Bulan ini dalam foto dimuatnaik itu, dia rindu untuk memotong kuku dan rambut ibu tersayang termasuk sering berdua ke mana sahaja sama ada bersenam dan bersiar-siar.
Ujar Nazeera dalam coretan syahdunya, rentetan kenangan dikongsikan bukan ucapan selamat tinggal selamanya kerana percaya suatu hari nanti mereka akan bertemu semula.
“Ini bukan selamat tinggal selamanya, kita akan jumpa suatu hari nanti. Mak ‘spend time’ (luangkan masa) dulu dengan abah ya.
“Allah lebih sayangkan mak dan abah yang akan selalu dalam doa. Terima kasih sebab didik kami jadi sekuat ini. Bukan tak berdamai dengan takdir, hati ini cuma rindu,” katanya.
Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen dan pengikut Nazeera di media sosial berharap dia terus kuat menghadapi ujian kehilangan itu dan bersabar.
“Al-Fatihah, salam takziah dan terus kuat Jern (Nazeera),” komen seorang warganet.
“Moga diberi ketabahan dan didoakan segala kebaikan buat roh Allahyarhamah,” kata netizen.
“Pedih yang teramat sangat apabila rindu orang sudah tiada,” ujar pengguna media sosial.
Kongsi Nazeera lagi, arwah ibunya sering membicarakan soal kahwin tetapi dia tidak kisah terus dengan kehidupan solo asalkan mereka berdua sentiasa ada peluang masa bersama.
Sebelum Allahyarham pergi buat selamanya, Nazeera berkongsi hantaran di IG memaklumkan arwah baru selesai menjalani pembedahan di kepala akibat strok atau angin ahmar dan berada dalam keadaan kritikal.
Allahyarham Siti Nginah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.47 pagi pada 24 Januari lalu.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




