Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menyifatkan tindakan seorang pelajar universiti awam yang memuat naik gambar memijak al-Quran di media sosial, baru-baru ini, sebagai satu gambaran keruntuhan nilai adab dan moral dalam diri individu terbabit.
Melalui hantaran di Instagram, Siti meluahkan rasa terkilan dan dukacita terhadap insiden berkenaan.
“Saya secara peribadi, amat terkesan dan berdukacita dengan tindakan melampau seorang individu yang tergamak menghina serta memijak naskhah suci al-Quran, sebagaimana yang tular baru-baru ini.
“Perbuatan berkenaan melukiskan gambaran hilangnya nilai adab dan hormat dalam diri manusia, yang jika dibiarkan, akan merosakkan moral generasi akan datang,” luahnya.

Siti Nurhaliza kesal individu pijak al-Quran
Siti turut menggesa agar tindakan sewajarnya dilaksanakan oleh pihak berkuasa
“Negara kita ada undang-undang dan peraturan yang jelas.
“Justeru, kami berharap agar perbuatan si pelaku dikenakan tindakan serta hukuman yang setimpal mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Sejak Selasa lalu, tular di media sosial gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran, berserta tangkap layar hantaran didakwa penuntut universiti awam itu yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Artikel lain: Hina agama! MCMC siasat penuntut pijak al-Quran, ikut Akta 588
Susulan insiden itu, seorang penuntut berusia 21 tahun direman empat hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun dan denda.
Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain, termasuk kandungan jelik.
Sumber: IG ctdk



