Kuantan 188 rai anak yatim sempena Ramadan

Kuantan 188 rai anak yatim sempena Ramadan

KUANTAN: Seramai 44 anak yatim bersama 10 penjaga dari tiga pusat kebajikan diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Simfoni Rasa anjuran Kuantan 188 di Menara Kuantan 188, di sini.

Pengurus Besar Kuantan 188, Khalisa Azman berkata, penganjuran itu merupakan inisiatif tahunan yang sentiasa diberi keutamaan setiap kali Ramadan sebagai usaha menyebarkan kegembiraan dan berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik.

“Setiap tahun kami menganjurkan program CSR Ramadan untuk menyantuni komuniti setempat, khususnya anak-anak yatim. Malah, terdapat badan korporat yang memilih Kuantan 188 sebagai lokasi CSR mereka, namun tempat adalah terhad dan perlu ditempah lebih awal,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Kesemua anak yatim terbabit membabitkan tiga pusat kebajikan iaitu Pertubuhan Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Perempuan Abu Yazid Bustami, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman dan Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Permata Al Kauthar.

Majlis yang diberi tema Simfoni Rasa di Awangan bukan sekadar menyediakan juadah berbuka, malah mencipta pengalaman istimewa buat anak-anak dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk persembahan badut dan cabaran zipline.

Khalisa menegaskan, program sebegini bukan hanya tentang sumbangan, tetapi lebih kepada menghadirkan rasa dihargai dan kegembiraan dalam suasana penuh kasih sayang.

“Harapan kami, kenangan kecil ini mampu membawa senyuman dan kebahagiaan buat mereka,” ujarnya.  – UTUSAN

Scroll to Top