‘AS gemar serang negara pada bulan Ramadan’ – Ilhan Omar

‘AS gemar serang negara pada bulan Ramadan’ – Ilhan Omar

NEW YORK – Ahli Dewan Perwakilan daripada Parti Demokrat, Ilhan Omar mengkritik pentadbiran Donald Trump berikutan operasi ketenteraan besar yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran semasa bulan Ramadan.

Dalam hantaran di media sosial pada Jumaat Ilhan berkata, Iraq pernah diserang oleh AS semasa Ramadan dan amat menyedihkan mengetahui AS mungkin sekali lagi menyerang Iran ketika bulan suci.

“Nampaknya AS menyerang negara Muslim bukan kerana pelanggaran undang-undang antarabangsa, tetapi kerana siapa yang mereka sembah,” tulisnya.

Pada 28 Februari 2026, AS dan Israel menjalankan serangan udara serta operasi ketenteraan besar terhadap beberapa lokasi strategik di Iran termasuk Teheran bagi mengekang program nuklear dan kapasiti ketenteraan negara itu.

Presiden Trump menyifatkan tindakan itu sebagai ‘operasi pertempuran besar’ dan menggesa rakyat Iran menentang pemerintah mereka.

Serangan tersebut dilaporkan menyebabkan letupan di banyak kawasan strategik dan pihak berkuasa Iran dijangka memberi tindak balas besar.

Ketegangan meningkat di rantau ini dengan kedutaan AS mengeluarkan nasihat keselamatan kepada warganegara mereka termasuk larangan perjalanan ke Bandar Lama Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Ilhan menegaskan bahawa tindakan ketenteraan semasa Ramadan boleh memperburuk konflik dan menjejaskan hubungan AS dengan dunia Islam.

Beliau berkata, serangan semasa bulan suci bukan sahaja menyakiti umat Islam, malah boleh meningkatkan kebencian dan ketegangan di seluruh dunia.

Pegawai lain mempertahankan serangan itu sebagai tindak balas terhadap ancaman keselamatan yang semakin serius, sementara rundingan diplomatik yang tergendala terus membayangi kemungkinan konflik jangka panjang di Asia Barat. – Agensi

Ringkasan AI

  • Ilhan Omar mengkritik pentadbiran Donald Trump atas serangan ketenteraan AS dan Israel ke atas Iran semasa Ramadan
  • Operasi ketenteraan itu bertujuan mengekang program nuklear dan kapasiti ketenteraan Iran
  • Presiden Trump menyifatkan tindakan tersebut sebagai operasi pertempuran besar
  • Serangan menimbulkan letupan di kawasan strategik Iran, menaikkan ketegangan di rantau tersebut
  • Ilhan Omar berpendapat tindakan ketenteraan semasa Ramadan boleh memperburuk konflik dan hubungan AS dengan dunia Islam
Scroll to Top