suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kepong: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 107 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Gegar di dua pusat hiburan elit, di sini yang dipercayai dikendalikan individu dikenali sebagai ‘mummy’.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pada 11 malam Jumaat itu adalah hasil risikan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM selama dua minggu.
Menurutnya, pasukan operasi yang digerakkan ke kedua-dua premis memeriksa 224 individu, terdiri daripada 171 warga asing dan 53 warga tempatan.
“Hasil semakan awal telah membawa kepada penahanan 107 warga asing, terdiri daripada 65 wanita dan tiga lelaki warga Thailand, 18 wanita Vietnam, 11 lelaki Bangladesh, tujuh wanita Laos dan tiga wanita Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi telah menyita beberapa barangan yang dipercayai digunakan bagi tujuan aktiviti premis termasuk cip bayaran, kalung, set komputer dan sistem kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, risikan awal menunjukkan premis dikawal pengawal keselamatan manakala wanita asing dikendali penyelaras digelar ‘mummy’ yang mengatur perkhidmatan pelanggan dan persembahan pentas.
“Bayaran perkhidmatan dipercayai ditentukan berdasarkan sistem kad berwarna dengan kadar antara RM100 hingga RM1,314,” katanya.
Katanya, warga asing yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, seramai tujuh warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke Pejabat JIM bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah mana-mana Akta Imigresen.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat atau bersekongkol dalam sebarang aktiviti
yang menyalahi undang-undang imigresen dan digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan secara menyeluruh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




