Bekalan kelapa dijamin cukup menjelang Aidilfitri

Bekalan kelapa dijamin cukup menjelang Aidilfitri

am@hmetro.com.my

Besut: Bekalan kelapa dijamin mencukupi bagi menampung keperluan sepanjang Aidilfitri ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurutnya, ketika ini tiada masalah dalam perbekalan dan sebarang kekurangan akan ditangani segera oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Orang ramai boleh melaporkan segera sekiranya berlaku kekurangan bekalan kelapa bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya ditemui pada lawatan Kilang Air Batu Fasa 3 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Mohamad berkata, kerajaan akan menambah bekalan kelapa di Semenanjung termasuk dari Sabah dan mengimportnya dari Indonesia sekiranya perlu.

“Bekalan kelapa dari Sabah terjamin, namun sekiranya ada mana-mana kekurangan, sila lapor dan kita akan bertindak segera,” katanya yang memaklumkan bekalan kelapa turut diperoleh dari Perak.

Sehubungan itu, beliau menyaran penanam kelapa tempatan meningkatkan hasil bagi memenuhi permintaan domestik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top