Lelaki maut jatuh pokok ketika berburu

Lelaki maut jatuh pokok ketika berburu

am@hmetro.com.my

Kota Belud: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari pokok ketika berburu di kawasan hutan Sapoda di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 44 tahun itu dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum rakannya keluar dari kawasan hutan untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, bilik kawalan BBP Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 malam.

Katanya, sepasukan lima anggota kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 39 kilometer dari balai.

“Pasukan penyelamat berdepan kesukaran apabila laluan ke lokasi tidak boleh dilalui kenderaan.

“Keadaan itu memaksa mereka bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ranger Sapoda berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Katanya, mayat dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang disertai polis, KKM, Ranger Sapoda dan 12 orang awam itu tamat sepenuhnya pada jam 10.56 malam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top