am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Gara-gara terlupa menarik brek tangan, seorang pemandu maut dilanggar lori yang diparkir di hadapan rumahnya di Jalan Delima, Felda Bukit Besar di sini, semalam.
Mangsa, Mohd Rizwan Osman, 37, dikatakan cuba menahan lori itu daripada bergerak dalam kejadian selepas waktu berbuka puasa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan yang membabitkan lori dipandu mangsa iaitu jenis Nissan Rigid Dumper/Tipper itu pada jam 7.45 malam.
“Lori diparkir di hadapan rumah, tetapi akibat terlupa tarik brek tangan, ia mula bergerak ke depan sebelum mangsa cuba untuk menahan bagi memberhentikan kenderaan berat itu.
“Bagaimanapun, mangsa kemudian dilanggar lori terbabit hingga cedera parah di bahagian dalam badan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, bagi tujuan prosedur siasatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Mohd Norul Fazuddin Shapie dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 7.42 malam sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi didapati benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori satu tan telah merempuh seorang lelaki dewasa iaitu pemandu lori yang cuba menahan lorinya sendiri yang sedang bergerak.
“Mangsa telah tersepit di bawah lori dan PKO bertindak membantu pihak KKM (Kementerian Kesihatan) mengeluarkan mangsa daripada bawah lori,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan jam 8.18 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




