TdF 2027 bermula di Scotland, Pyrenees penentu kejuaraan

TdF 2027 bermula di Scotland, Pyrenees penentu kejuaraan

Paris: Edinburgh bakal mencipta sejarah sebagai lokasi permulaan paling utara dalam sejarah Tour de France (TdF) apabila edisi 2027 perlumbaan berbasikal berprestij itu membuka tirai di ibu negara Scotland, manakala banjaran Pyrenees dijangka menjadi medan penentuan perebutan gelaran keseluruhan.

Laluan penuh edisi ke-114 itu diumumkan penganjur, Amaury Sport Organisation (ASO), dengan tiga peringkat pertama berlangsung di Britain merangkumi Scotland, England dan Wales.

Selepas permulaan paling selatan di Barcelona tahun ini, TdF kembali memulakan perlumbaan di luar Perancis, menjadikan Edinburgh sebagai lokasi Grand Depart yang bakal mencatat sejarah tersendiri.

Buat kali kelima dalam tempoh enam tahun, perlumbaan berkenaan akan bermula di luar negara, sekali gus memperlihatkan usaha penganjur memperluas jangkauan antarabangsa acara berbasikal paling berprestij dunia itu.

Pengarah perlumbaan, Christian Prudhomme berkata, laluan awal direka bagi memastikan persaingan kekal terbuka, khususnya antara pelumba pakar laluan berbukit atau puncheurs dengan pencabar utama gelaran keseluruhan.

“Wales ibarat Liege-Bastogne-Liege,” katanya kepada AFP, merujuk kepada peringkat ketiga yang dijangka menawarkan laluan berbukit mencabar seperti perlumbaan klasik sehari terkenal di Belgium itu.

“10 hari pertama direka untuk memastikan jersi bertukar tangan, dengan pelumba puncheurs terbaik dunia berdepan pencabar gelaran keseluruhan.”

Reka bentuk laluan itu turut dilihat sebagai usaha mengelakkan dominasi terlalu awal seperti edisi 2026, apabila bintang Slovenia, Tadej Pogacar menguasai jersi kuning hampir dari awal hingga penghujung perlumbaan.

Pogacar yang memburu gelaran keseluruhan keenam bakal berdepan cabaran daripada pelumba seperti Remco Evenepoel, terutama dalam dua peringkat ujian masa individu yang berpotensi mempengaruhi kedudukan keseluruhan sebelum perlumbaan memasuki kawasan pergunungan.

Peringkat ketujuh menampilkan ujian masa sejauh 38 kilometer (km) di laluan rata, keadaan yang dijangka memihak kepada Evenepoel, juara Olimpik dan dunia dalam disiplin itu.

Ujian masa kedua sejauh 33km di sekitar Toulouse pada peringkat ke-16 pula menawarkan satu lagi peluang buat pelumba Belgium berkenaan merapatkan jurang atau mencabar kedudukan Pogacar.

Bagaimanapun, cabaran terbesar dijangka hadir di kawasan pergunungan apabila pelumba perlu mengharungi 28 pendakian dengan jumlah ketinggian terkumpul sebanyak 53,450 meter (m).

Peringkat ke-18 dijangka menjadi antara ujian paling getir apabila peloton mendaki Col du Portet di Pyrenees, yang terletak pada ketinggian 2,215m dari aras laut dan menjadi titik tertinggi laluan tahun depan.

Penganjur turut menggabungkan pendakian legenda Col du Tourmalet dengan Col du Portet, sebelum pelumba berdepan laluan berbukit curam di kawasan Basque pada hari berikutnya.

Prudhomme berkata, penganjur perlu memperkenalkan pendakian berbeza bagi mengelakkan perlumbaan terlalu bergantung kepada laluan ikonik yang sering digunakan.

“Jika mahu meneroka pendakian lain, kita perlu menerima hakikat bahawa kita tidak boleh sentiasa menggunakan laluan paling terkenal.

“Buat pertama kali, kita akan menghubungkan Tourmalet dan Portet, dua pendakian yang sangat mencabar. Keesokan harinya pula, pendakian curam menanti dengan kemunculan semula Burdincurutcheta dan Bagargui di kawasan Basque, yang kali terakhir digunakan pada 2023,” katanya.

Edisi 2027 turut mengekalkan penamat tradisional di Paris dengan laluan di sekitar Montmartre untuk tahun ketiga berturut-turut, selepas dua edisi terdahulu menyaksikan penamat mendebarkan.

Namun, peringkat ke-20 yang dijadual berlangsung sehari sebelum penamat di Paris direka untuk pelumba pecut, sekali gus membuka kemungkinan perebutan jersi kuning selesai lebih awal sebelum pentas terakhir di ibu negara Perancis itu.

Dengan gabungan laluan berbukit di Britain, dua ujian masa individu dan pendakian mencabar di Pyrenees, TdF 2027 dijangka menguji kepelbagaian kemampuan pelumba dalam usaha mengekang dominasi Pogacar dan merebut gelaran keseluruhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top