Mereka perlu perhatian rakyat Malaysia

Mereka perlu perhatian rakyat Malaysia

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Keadaan di kebanyakan rumah anak yatim ketika ini memang terdesak. Mereka perlukan perhatian rakyat Malaysia.

“Nabi Muhammad SAW beri jaminan siapa yang jaga anak yatim akan dapat ganjaran, kenapa kita tak ambil peluang itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ihsanku, Muhammad Syariffuddin Supeni.

Beliau mengulas mengenai nasib anak-anak yatim yang mengharapkan kasih sayang orang ramai untuk menyumbang dana bagi mendapatkan makanan serta persiapan Aidilfitri.

Katanya, secara dasarnya, pengurusan rumah anak yatim berdepan masalah untuk menyelesaikan bil utiliti, makanan dan minuman serta kos pengurusan lain.

“Bagi rumah yang ada pekerja, memang perlukan dana yang banyak.

“Bukan mudah untuk mengendalikannya. Pekerja perlu dibayar gaji dan penghuni pula perlu disantuni seperti kita jaga keluarga sendiri,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini Ihsanku mempunyai sembilan rumah anak yatim angkat yang dibantu secara bulanan.

Ia merangkumi peruntukan untuk barangan basah seperti keperluan dapur selain untuk kegunaan harian.

Menurutnya, isu jangka masa panjang bukan hanya terhad kepada soal keperluan harian semata-mata tetapi pembentukan jati diri anak yatim sebagai generasi pelapis.

“Mungkin ramai yang tidak perasan, jika kita tidak tangani sebaik mungkin, generasi sekarang akan dewasa satu hari nanti.

“Kalau di peringkat sekarang mereka tidak mendapat sentuhan kasih sayang sewajarnya, ia akan mempengaruhi seluruh kehidupan mereka kelak,” katanya.

Justeru beliau mengajak masyarakat untuk sama-sama cakna dengan keperluan rumah anak yatim serta memberi bantuan sebaik mungkin demi manfaat bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top