am@hmetro.com.my
Gua Musang: Mayat lelaki ditemukan dengan kesan tusukan objek di bahagian dada kiri di tepi Jalan Lama Lojing, Pos Brooke, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azlan Che Abdullah, berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan penemuan itu pada 4.35 pagi Sabtu.
Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an namun identitinya belum dipastikan.
“Mayat ditemui dalam keadaan terbaring tidak bernyawa dengan kesan tusukan objek di bahagian dada kiri. Proses bedah siasat mayat dilakukan di Unit Forensik Hospital Gua Musang.
“Kes diklasifikasikan sebagai Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




