London: Seorang lelaki meninggal dunia selepas mengambil dos berlebihan tablet kafein dan mengalami serangan jantung, menurut inkues.
Memetik Metro UK, Alfie Goddard, 25, membeli kapsul kafein secara dalam talian dan mengambilnya sebelum meninggal dunia pada 28 Oktober 2025.
Dia kemudian dikejarkan ke hospital selepas ditemui dalam keadaan keliru, berjalan tanpa kasut dan muntah darah di jalan, namun meninggal dunia akibat serangan jantung di hospital.
Goddard, yang menghidap gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), psikosis akibat dadah, skizofrenia paranoid dan autisme, tinggal di sebuah blok penginapan di Colchester, Essex, United Kingdom (UK).
Di Mahkamah Koroner Essex, koroner, Lincoln Brookes memutuskan, kematiannya sebagai kematian tidak disengajakan.
Ketika mengakhiri inkues, Brookes berkata, Goddard secara tidak sengaja meninggal dunia akibat ketoksikan kafein selepas mengambil sejumlah besar tablet kafein di rumahnya pada hari berkenaan.
Mahkamah memaklumkan, laporan toksikologi mendapati, kepekatan kafein dalam tubuh Goddard berada dalam julat yang sememangnya dikaitkan dengan kematian akibat kafein.
Difahamkan, Goddard cuba menghubungi 999 ketika mengalami episod psikotik pada hari kematiannya, namun tidak dapat bercakap dengan jelas menyebabkan kakitangan di International House menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Paramedik dan polis tiba sebelum membawanya ke hospital, manakala pemeriksaan polis di biliknya menemukan pelbagai tablet kafein.
Pegawai polis dari Polis Essex, Inspektor Tom Bastendorff berkata, kapsul yang dirampas dari flat Goddard mengandungi kafein dan beliau percaya Goddard mengambil kapsul berkenaan sehingga menyebabkan tingkah lakunya tidak menentu.
Sementara itu, kakak Goddard, Daisy pula berkata, adiknya mempunyai personaliti ketagihan dan tidak menyedari kesan berbahaya kafein, selain menjadi terlalu tertumpu kepada pelbagai makanan tambahan dan produk kesihatan walaupun keluarganya cuba mengawal pengambilannya.
“Kematian itu menekankan bahaya tablet dan serbuk kafein yang tidak dilabel serta mudah dibeli secara dalam talian, yang sangat kuat dan tidak diketahui asal usulnya, namun dianggap tidak berbahaya oleh orang ramai kerana ia sah di sisi undang-undang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

