Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim supaya tidak menyalahkan pentadbiran kerajaan terdahulu berhubung kemelut adat dan institusi Raja Negeri Sembilan, sebaliknya tampil menjelaskan fakta serta rekod berkaitan perkara itu kepada rakyat.
Aminuddin berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya setiap tindakan dan keputusan yang dibuat sepanjang menjadi Menteri Besar dipersoalkan kerana semuanya boleh dinilai berdasarkan rekod, dokumen serta kronologi yang ada.
“Saya mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim yang cuba mengaitkan kemelut adat dan institusi Raja Negeri Sembilan dengan pentadbiran kerajaan terdahulu. Saya tidak mempunyai masalah untuk dipersoalkan.
“Sepanjang saya menjadi Menteri Besar, setiap tindakan dan keputusan boleh dinilai berdasarkan rekod, dokumen serta kronologi yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan terdahulu didakwa menjadi punca kepada kemelut berkenaan, rakyat berhak mengetahui secara tepat kesalahan yang dimaksudkan, termasuk tindakan yang dikatakan gagal dilaksanakan dan peruntukan undang-undang yang didakwa telah dilanggar.
Foto arkib: Utusan
Beliau berkata, dakwaan berkenaan tidak seharusnya dibuat secara umum dengan hanya menggunakan istilah “kerajaan terdahulu”.
“Rujukan Wahyu dan Nubuwwah sudah jelas ada. ‘Tanyalah kepada ahlinya, jika kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu’.
“Namun apabila kerajaan terdahulu dituduh menjadi punca kepada kemelut ini, rakyat berhak mengetahui dengan tepat apakah kesalahan yang dimaksudkan.
“Apakah tindakan yang dikatakan gagal saya lakukan? Apakah peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang dikatakan telah dilanggar? Dan bilakah pelanggaran itu dikatakan berlaku?,” ujarnya.
Aminuddin dakwa pernah diminta tandatangan proklamasi
Dalam kenyataan sama, Aminuddin mendedahkan bahawa ketika masih menjadi Menteri Besar pada 20 April lalu, beliau telah dikemukakan dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 untuk ditandatangani dengan merujuk kepada proses di bawah Perkara 10 UUTKNS.
Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, beliau membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana terdapat persoalan serius mengenai proses yang telah dilalui.
“Pada 20 April 2026, ketika saya masih menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 telah dikemukakan kepada saya untuk ditandatangani dengan merujuk kepada proses di bawah Perkara 10 UUTKNS.
“Saya membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut. Dato’ Ismail sebagai orang yang berlatarbelakang pengamal guaman, sudah pasti sangat biasa dengan perkataan ‘proses’. Isu yang melibatkan Tuanku Muhriz adalah prosesnya. Adakah lengkap? Atau cacat sejak awal?” soalnya.
Aminuddin berkata, Perkara 10 UUTKNS bukan sekadar menyentuh kuasa berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, malah menetapkan proses yang perlu dipenuhi termasuk perkara berkaitan suatu siasatan yang penuh dan lengkap.
Jelasnya, pada ketika itu turut wujud pertikaian mengenai kedudukan salah seorang pihak yang terlibat sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
“Dalam keadaan terdapat persoalan seperti itu, saya mengambil pendirian berdasarkan nasihat undang-undang yang betul bahawa seorang Menteri Besar tidak sepatutnya meletakkan tandatangannya pada sebuah dokumen yang mempunyai implikasi begitu besar terhadap institusi Raja selagi persoalan mengenai proses dan kesahihannya belum benar-benar jelas.
“Ini pendirian saya dan alhamdulillah hari ini pendirian ini kekal dan saya tidak melayakkan diri saya sebagai ‘dipaksa’,” kata beliau.
“Kalau saya boleh menolak, mengapa Ismail tandatangan?”
Aminuddin kemudian mempersoalkan tindakan Ismail yang didakwa menandatangani dokumen proklamasi sama pada 3 Ogos lalu elepas mengambil alih jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ujarnya, pihak terbabit mendakwa tandatangan berkenaan melengkapkan surat cara tersebut berdasarkan tafsiran mereka terhadap Perkara 10(2) UUTKNS.
“Selepas saya tidak menandatangani dokumen tersebut, pihak yang sama kemudiannya mendakwa bahawa Dato’ Ismail Lasim, selepas menjadi Menteri Besar, telah menandatangani dokumen proklamasi berkenaan pada 3 Ogos 2026.
“Pihak berkenaan turut mendakwa tandatangan tersebut melengkapkan surat cara itu berdasarkan tafsiran mereka terhadap Perkara 10(2) UUTKNS,” ujarnya.
Aminuddin berkata, Ismail kemudiannya mengakui tandatangan tersebut sebagai tandatangannya tetapi mendakwa beliau menandatangani dokumen itu dalam keadaan dipaksa.
Foto arkib: Bernama
Tambahnya, dakwaan berkenaan telah dibawa kepada pihak berkuasa dan sewajarnya siasatan diberikan ruang untuk menentukan fakta sebenar tanpa sebarang prejudis.
Bagaimanapun, beliau berkata, dari sudut tanggungjawab awam, masih terdapat persoalan yang perlu dijawab oleh Ismail.
“Jika saya ketika menjadi Menteri Besar boleh membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana mempunyai keraguan terhadap prosesnya, bagaimana pula tandatangan Menteri Besar selepas saya boleh berada pada dokumen yang sama?
“Inilah persoalan yang perlu dijelaskan secara terus kepada rakyat,” tambah Aminuddin.
Persoal pematuhan Perkara 10 UUTKNS
Aminuddin turut menegaskan bahawa Perkara 10 UUTKNS perlu dibaca sebagai satu proses perlembagaan yang mempunyai syarat dan tatacara tertentu.
Katanya, antara perkara yang menjadi pertikaian ialah sama ada kehendak berkaitan siasatan yang penuh dan lengkap benar-benar dipenuhi sebelum tindakan selanjutnya dibuat.
“Perkara 10 UUTKNS perlu dibaca sebagai suatu proses perlembagaan yang mempunyai syarat dan tatacara tertentu.
“Antara perkara yang menjadi pertikaian ialah sama ada kehendak berkaitan siasatan yang penuh dan lengkap telah benar-benar dipenuhi sebelum tindakan selanjutnya dibuat,” katanya.
Beliau turut merujuk pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September 2026 yang menurutnya menyatakan bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 tidak sah kerana kehendak mandatori Perkara 10 tidak dipatuhi.
AGC juga, menurut Aminuddin, menegaskan bahawa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
“Pada 17 September 2026, Jabatan Peguam Negara mengambil pendirian bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 tidak sah kerana menurut pandangan AGC, kehendak mandatori Perkara 10 tidak dipatuhi.
“AGC juga menegaskan bahawa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar,” ujar beliau lagi.
Pada masa sama, Aminuddin mengakui terdapat pendirian berbeza daripada Sekretariat Undang Yang Empat yang mempertikaikan pendirian AGC berhubung perkara tersebut.
Maklumnya, sekretariat berkenaan mendakwa proses siasatan yang dilaksanakan pada 5 Mac dan 19 April telah memenuhi kehendak Perkara 10.
“Perbezaan tafsiran ini sendiri menunjukkan bahawa isu pematuhan Perkara 10 adalah persoalan substantif dan bukannya isu yang boleh dipermudahkan dengan menyalahkan satu pihak sahaja.
“Saya berpegang pada pendirian Jabatan Peguam Negara yang lebih berauthoriti,” katanya.
Aminuddin sedia jawab jika ada bukti
Dalam pada itu, Aminuddin berkata beliau bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat sepanjang tempoh menjadi Menteri Besar.
Beliau meminta sekiranya terdapat keputusan yang mahu dipersoalkan, dokumen, tarikh serta peruntukan undang-undang berkaitan dikemukakan supaya beliau boleh memberikan jawapan berdasarkan rekod.
“Saya bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang saya buat semasa menjadi Menteri Besar. Jika ada keputusan saya yang mahu dipersoalkan, kemukakan dokumen, tarikh dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Saya akan menjawab berdasarkan rekod,” maklum beliau.
Bagaimanapun, Aminuddin berkata, Ismail juga perlu menjelaskan tindakannya sendiri terutama mengenai tandatangan pada dokumen proklamasi tersebut serta keadaan yang menyebabkan beliau kemudian mendakwa dipaksa menandatanganinya.
“Namun Dato’ Ismail juga perlu jujur menjelaskan tindakannya sendiri. Rakyat berhak mengetahui mengapa tandatangannya berada pada dokumen proklamasi tersebut dan apakah keadaan sebenar yang menyebabkan beliau kemudian mendakwa dirinya dipaksa menandatangani.
“Persoalan itu tidak boleh dijawab dengan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu,” ujarnya.
Aminuddin berkata, berdasarkan rekod yang diketahui rakyat ketika ini, beliau memilih untuk tidak menandatangani dokumen berkenaan ketika ia dikemukakan kepadanya kerana terdapat persoalan mengenai proses dan kesahihannya.
Tambah beliau lagi, apabila dokumen sama kemudiannya ditandatangani oleh Ismail sebelum beliau mendakwa dirinya dipaksa, rakyat berhak mendapatkan penjelasan lengkap mengenai perkara tersebut.
“Ketika dokumen itu dikemukakan kepada saya, saya memilih untuk tidak secara rela atau paksa menandatanganinya kerana terdapat persoalan mengenai proses dan kesahihannya.
“Apabila dokumen itu kemudiannya ditandatangani oleh Dato’ Ismail dan beliau selepas itu mendakwa dipaksa, maka rakyat berhak mendapat penjelasan yang lengkap,” tambahnya.
Malah, Aminuddin menegaskan bahawa perkara yang melibatkan UUTKNS, Adat Perpatih dan institusi Yang di-Pertuan Besar perlu dijelaskan kepada rakyat berdasarkan fakta, proses serta rekod sebenar.
“Jangan lakukan manipulasi sekadar untuk melepaskan diri dan keterlanjuran. Tidak rugi menjadi pemimpin yang jujur. Tidak tercela mempertahan kebenaran,” kata beliau.
Sumber: Facebook Aminuddin Harun
