Speedy Tigers belasah Austria

Speedy Tigers belasah Austria

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara bermula garang pada kempen kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 hari ini apabila menewaskan Austria 6-1 pada perlawanan pertama Kumpulan B di Stadium Suez Canal Authority, Ismailia, Mesir.

Dibimbing jurulatih Sarjit Singh, skuad negara bangkit selepas gol awal Austria oleh penalti stroke Fulop Losonci pada minit ke-3.

Speedy Tigers kemudian menembusi benteng lawan dengan dua gol pantas pada minit ke-24 oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Shello Silverius.

Gol menerusi pukulan sudut penalti daripada Norsyafiq Sumantri pada minit ke-34 menambah kelebihan sebelum Azrai Aizad menambah jaringan lagi pada minit ke-44 hasil gol padang.

Jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan pukulan sudut penalti kapten, Muhammad Marhan Mohd Jalil masing-masing pada minit ke-52 dan 57 menutup perlawanan, sekali gus menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan bergaya 6-1.

Skuad negara dijadualkan bertemu Pakistan esok sebelum menamatkan aksi Kumpulan B menentang China pada Rabu.

Kumpulan A menyaksikan pertembungan antara England, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Mesir selaku tuan rumah.

Tiga pasukan terbaik keseluruhan daripada kempen kelayakan kali ini akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia 2026.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Dunia adalah pada 2023 di Odisha, India dan menamatkan kejohanan di tempat ke-13 daripada 15 pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top