Suami jadi kunci kejayaan Hannah

Suami jadi kunci kejayaan Hannah

Singapura: Pemain Australia, Hannah Green, muncul juara Kejohanan Golf Wanita Dunia HSBC buat kali kedua dengan bantuan istimewa suaminya, Jarryd Felton, yang bertindak sebagai kedi di Sentosa Golf Club, hari ini.

Hannah, 29, mencatat keseluruhan 14 bawah par 274 untuk menang satu pukulan mengatasi pencabar terdekat, sekali gus meraih gelaran ketujuh kariernya.

“Ia benar-benar usaha berpasukan sepanjang dua minggu ini. Sangat istimewa berkongsi kemenangan ketujuh saya bersama dia,” kata Hannah.

Felton hanya kali kedua menjadi kedi untuk isterinya musim ini, namun kombinasi itu ternyata menjadi apabila Hannah memulakan aksi terakhir terikat pendahulu bersama Minjee Lee sebelum melakukan birdie di lubang pertama dan eagle di lubang kelapan untuk menguasai permainan.

Walaupun melakukan bogey di lubang ke-14 serta dua lagi di penghujung saingan, catatan tiga bawah par 69 sudah memadai untuk menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Auston Kim, dengan kelebihan satu pukulan.

Lee pula menamatkan saingan dengan 72 pukulan untuk berkongsi tempat ketiga bersama pemain Perancis, Pauline Roussin Bouchard, dan seorang lagi pemain AS, Angel Yin.

Hannah yang turut menjuarai kejohanan sama pada 2024 mengakui berasa gemuruh di penghujung saingan, namun ketenangan suaminya membantu mengawal tekanan.

Jika momentum ini berterusan, Hannah kini semakin kukuh sebagai antara pencabar utama musim ini di pentas LPGA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top