Carrick puji Sesko, enggan dibuai pujian penyokong Man United

Carrick puji Sesko, enggan dibuai pujian penyokong Man United

Manchester, England: Pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick tersenyum puas apabila ditanya mengenai sorakan ribuan penyokong yang melaungkan namanya di Old Trafford, malam tadi.

United bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Crystal Palace 2-1, dan bagi Carrick yang menghabiskan lebih sedekad sebagai tonggak tengah pasukan, sorakan itu amat bermakna.

Di bawah kendaliannya, United kini tidak tewas dalam tujuh perlawanan dan kembali berada dalam kelompok tiga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak Mei 2023.

“Ya, ia memang satu perasaan yang indah,” kata Carrick. “Tempat ini sangat bermakna bagi saya. Untuk merasai suasana positif, melihat semua orang menikmati perlawanan, dan saya mempunyai sedikit pengaruh dalam hal itu, sejujurnya, ia memang rasa sangat baik.”

Carrick, 44, yang mewakili United dari 2006 hingga 2018, membimbing pasukan mencatat enam kemenangan dan satu seri sejak dilantik menggantikan Ruben Amorim yang dipecat pada 5 Januari.

Namun, beliau pantas merendahkan pujian terhadap dirinya sendiri. “Saya rasa pemain perlu diberi banyak kredit atas apa yang mereka tunjukkan di atas padang,” katanya. “Jadi ia bukan semuanya tentang saya.

“Hubungan dengan penyokong itu sangat penting. Untuk merasai sokongan mereka, walaupun selepas permulaan yang agak perlahan, dan menamatkan perlawanan seperti itu, ia benar-benar bermakna.”

Benjamin Sesko muncul wira apabila menanduk masuk sepakan percuma tepat daripada Bruno Fernandes, yang turut menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti.

Ia gol ketujuh pemain berusia 22 tahun itu dalam lapan perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, dan yang ketiga berturut-turut, meneruskan prestasi cemerlangnya selari dengan kebangkitan United di bawah Carrick.

“Saya sangat gembira untuk Ben,” kata Carrick. “Sejak beberapa minggu lalu saya selalu katakan, ini bukan satu masalah besar. Dia memberi impak besar dan semakin meningkat dari segi prestasi. Sebahagiannya hanya soal menyesuaikan diri dengan tekanan dan makna bermain di sini.”

Etika kerja tinggi Sesko menjadi kunci kepada peningkatan prestasinya. “Dia sangat mahu berjaya. Dia bekerja keras dan sentiasa berfikir tentang bagaimana untuk jadi lebih baik. Dia satu keseronokan untuk dilatih,” kata Carrick.

“Gol hari ini memang hebat. Kami juga ada fleksibiliti di barisan serangan dengan pelbagai peranan dan pilihan.”

Apabila ditanya sama ada kebangkitan Sesko berpunca daripada keyakinan diri atau taktikal pasukan, Carrick menjawab: “Mungkin kedua-duanya. Hubungan dan kepercayaan itu penting, tapi dia sendiri yang meletakkan usaha. Dia pemain berkualiti, sebab itu dia berada di sini.”

Walaupun tidak mahu terlalu awal meletakkan harapan tinggi, Carrick jelas teruja.

“Dia masih muda, tapi prestasinya ketika ini sangat mengagumkan. Saya benar-benar teruja melihat sejauh mana dia boleh pergi.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top