Kuantan: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua pihak untuk mengenal pasti dan membangunkan tanah terbiar secara produktif bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh sekuriti makanan.
Baginda bertitah usaha itu perlu melibatkan tanah milik persendirian dan tanah kerajaan dengan keutamaan diberikan kepada sektor yang berpotensi menjana hasil selain memberi manfaat kepada rakyat seperti perusahaan kelapa sawit, getah, kelapa, padi, buah-buahan serta tanaman bernilai tinggi.
“Seharusnya kita bertuah kerana Negeri Pahang mempunyai keluasan kira-kira 3.6 juta hektar tanah.
“Alangkah malangnya jika sebahagian besar tanah di Negeri Pahang ini tidak diusahakan,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang.
Menurut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri bagi mendengar taklimat berkaitan pengurusan serta pembangunan tanah di Pahang.
Dalam pada itu, baginda bertitah pemberian hak milik tanah hanya akan memberi manfaat sekiranya pemilik memajukan tanah berkenaan dan memenuhi segala tanggungjawab termasuk melunaskan cukai yang berkaitan.
“Oleh itu, kajilah sebaik-baiknya supaya penyelesaian yang dilaksanakan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu kerajaan negeri dan rakyat.
“Setiap inci tanah yang kita miliki mempunyai potensi untuk diusahakan,” titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




