Kebebasan berkarya bukan lesen hina institusi Raja, Rukun Negara – Aaron Ago gesa siasatan segera

Kebebasan berkarya bukan lesen hina institusi Raja, Rukun Negara  – Aaron Ago gesa siasatan segera

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memandang serius tindakan sebuah akaun Instagram, The Fever Kinetic Theatre yang memuat naik video pementasan mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi Raja, negara Malaysia serta Rukun Negara.

Kebebasan berkarya bukan lesen hina institusi Raja, Rukun Negara  – Aaron Ago gesa siasatan segera

Beliau berkata perbuatan berkenaan tidak bertanggungjawab, keterlaluan dan tidak boleh diterima atas alasan kebebasan berkarya mahupun bersuara.

“Kebebasan berkarya dan kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekeh institusi negara, mencetuskan provokasi atau melakukan tindakan yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Aaron, tiada ruang untuk mana-mana pihak mempermainkan perkara yang menyentuh institusi Raja, kedaulatan negara serta asas kehidupan bernegara.

Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Sehubungan itu, Aaron meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya wujud pelanggaran undang-undang.

“Siasatan hendaklah mempertimbangkan segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan berkaitan, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 serta mana-mana undang-undang lain,” katanya.

Tegasnya, tindakan undang-undang yang sewajarnya dan setimpal perlu diambil sebagai peringatan bahawa kebebasan yang dinikmati rakyat hadir bersama tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, institusi negara dan keharmonian masyarakat.

Dalam pada itu, Aaron menegaskan Rukun Negara tidak seharusnya dilihat sekadar lafaz yang dibacakan dalam majlis rasmi, sebaliknya ia merupakan ideologi dan falsafah kebangsaan serta panduan dalam usaha membina negara yang bersatu padu.

Artikel lain: Kebebasan berucap bukan lesen jadikan agama bahan jenaka raih tepukan – Aaron Ago

Beliau berkata Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dengan matlamat utama untuk membentuk perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya menyeru semua pihak, termasuk penggiat seni, pencipta kandungan dan pengguna media sosial, supaya menggunakan ruang kebebasan yang ada secara bertanggungjawab.
“Kreativiti tidak harus menjadi lesen untuk menghina, dan kebebasan tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab,” tambahnya lagi.

Scroll to Top