Zarynn Min fokus kualiti lakonan, tolak tawaran duta promosi jenama

Zarynn Min fokus kualiti lakonan, tolak tawaran duta promosi jenama

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Enggan memikul tanggungjawab bukan dalam kepakarannya, pelakon, Zarynn Min, 46 mendedahkan dia mengambil pendekatan menolak tawaran sebagai duta kepada jenama produk demi menjaga reputasinya.

Zarynn atau nama sebenarnya Noraszarinawati Tumin mengakui ada pihak cuba mendekatinya untuk tujuan promosi, namun dia terpaksa berkata ‘tidak’ kerana merasakan bidang terbabit bukanlah ‘forte’ dalam kerjayanya.

“Sebenarnya, memang ada beberapa pihak yang datang ‘approach’, tapi sebab itu bukan kepakaran, jadi saya selalu tolak. Saya faham kedudukan pasaran saya macam mana,” katanya.

Menurut pelakon filem Amira Amir ini, dia lebih selesa memberi fokus kepada kualiti lakonan dan menjaga disiplin di set penggambaran berbanding memikul tanggungjawab sebagai jurucakap produk.

“Saya cuma bagus dalam berlakon dan mempunyai disiplin yang baik, tapi untuk nilai komersial itu (saya) memang tiada.

“Saya bimbang jika mereka ambil saya, produk tersebut tidak akan naik atau menjadi bagus. Di situ puncanya saya kerap menolak tawaran,” katanya lagi.

Zarynn turut menyifatkan sikapnya merendah diri itu mungkin menjadi punca mengapa dia disenangi oleh rakan industri dan peminat walaupun menyedari sifat berkenaan ada kalanya mempunyai kelemahan tersendiri.

“Mungkin sebab terlalu merendah diri itu membuatkan orang senang dengan saya. Walaupun saya tahu merendah diri sangat pun tak berapa baik, tapi bagi saya ia perlu untuk terus bertahan dalam industri seni ini.

“Sekurang-kurangnya kita rasa gembira sepanjang berada dalam industri ini dan hanya mendengar perkara yang baik-baik sahaja mengenai diri kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top