Apa aset senjata AS dikerah serang Iran

Apa aset senjata AS dikerah serang Iran

Washington: Amerika Syarikat (AS) terus melancarkan gelombang serangan ke atas Iran sejak kelmarin dengan menggunakan pelbagai aset persenjataan dimilikinya.

Ia termasuk dron serangan sehala kos rendah yang direka berasaskan model Iran, yang kali pertama digunakan dalam pertempuran, selain peluru berpandu Tomahawk dan pesawat pejuang halimunan.

Pusat Command AS (CENTCOM) mengeluarkan gambar peluru berpandu Tomahawk dan jet pejuang F-18 serta F-35 yang digunakan dalam Operasi Epic Fury itu.

Kecerdasan Buatan

Pentagon menggunakan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) daripada Anthropic, termasuk alat Claude, dalam serangannya ke atas Iran, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Namun, Reuters tidak dapat mengenal pasti bagaimana alat itu digunakan dalam peperangan berkenaan.

Setakat ini, Pentagon dan Anthropic belum memberi maklum balas kepada permintaan untuk komen.

Pesawat Pengebom

Tindakan Pentagon memperhebatkan pengeboman ke atas Iran antara lain menyaksikan ia mengerah pesawat pengebom halimunan B-2 dari AS untuk menyerang kemudahan peluru berpandu bawah tanah Iran dengan menggunakan bom seberat 2,000 paun.

Pesawat pengebom B-2 bernilai AS$2 bilion yang dibina oleh Northrop Grumman, memainkan peranan penting dalam serangan ke atas tapak nuklear Iran pada Jun tahun lalu.

Dengan sayap memiliki kelebaran 52.4 meter berserta profil halimunan, B-2 mampu terbang sejauh 6,000 batu nautika tanpa mengisi minyak, namun kebanyakan misi memerlukan pengisian minyak di udara beberapa kali.

Dron

Tentera AS memaklumkan bahawa ia menggunakan ‘dron bunuh diri’ yang berdasarkan gambar dikeluarkan Pentagon, menyerupai LUCAS (Low-Cost Unmanned Combat Attack System) keluaran Spektreworks yang berpangkalan di Phoenix, Arizona.

Bagaimanapun setakat ini, syarikat itu tidak respons kepada permintaan untuk komen.

Selain itu untuk kali pertama, CENTCOM menggunakan dron serangan sehala yang berasaskan model dron ‘Shahed’ milik Iran, menurut Pentagon.

Pentagon berkata, penghasilan dron ‘kamikaze’ membabitkan kos rendah dan dikeluarkan oleh beberapa pengeluar. Harga LUCAS dianggarkan sekitar AS$35,000.

AS juga menggunakan dron lebih mahal seperti MQ-9 Reaper

Tomahawk

Peluru Berpandu Darat Tomahawk adalah peluru berpandu ‘cruise’ jarak jauh yang lazimnya dilancarkan dari laut untuk menyerang sasaran dalam misi serangan jauh.

Peluru berpandu tepat itu mampu mengenai sasaran sejauh 1,600 kilometer walaupun dalam ruang udara yang dikawal ketat.

Ia berukuran 6.1 meter panjang dengan sayap selebar 2.6 meter dan berat kira-kira 1,510 kilogram.

Menurut data bajet Pentagon, AS merancang untuk membeli sebanyak 57 peluru berpandu seumpama itu, tahun ini. Purata kos setiap satunya ialah A$1.3 juta.

Jet Pejuang

CENTCOM mengeluarkan gambar dan rakaman video menunjukkan jet pejuang F/A-18 dan F-35 digunakan dalam serangan ke atas Iran.

F-35 adalah jet pejuang halimunan generasi kelima yang berupaya mengelak pengesanan radar, dan membawa peluru berpandu tepat. AS telah mengerahkan F-35 secara meluas di Asia Barat.

F/A-18 buatan Boeing pula adalah jet pejuang pelbagai peranan yang mampu melakukan kedua-dua misi ‘udara ke udara’ dan ‘udara ke darat’.

F-35 juga berupaya membawa peluru berpandu yang mampu mengesan dan memusnahkan sistem radar musuh.

Pesawat berkenaan turut digunakan oleh Tentera Udara Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top