am@hmetro.com.my
Georgetown: Seramai 63 individu dirakam keterangan berhubung salah guna kuasa membabitkan pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah dan penyalahgunaan dana wang zakat bagi bayaran baki pinjaman perumahan.
Sumber berkata, kesemua individu itu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini dan pada masa sama, SPRM turut mempergiat siasatan yang dimulakan pertengahan Januari lalu dengan membuat semakan terhadap akaun disyaki terbabit rasuah.
Antara individu yang dipanggil bagi dirakam keterangan ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri, Mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Penasihat Undang-Undang, pegawai serta kakitangan Ahli Majlis Agama Islam Negeri.
Turut dipanggil, Ahli Lembaga Zakat serta pegawai dan kakitangan zakat negeri.
“SPRM sudah memanggil kesemua individu secara berperingkat sebaik sahaja kertas siasatan dibuka.
“Siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pegawai kanan kerajaan negeri bersama seorang ahli Majlis Agama Islam Negeri didakwa menggunakan kedudukan dan jawatan masing-masing bagi mencadangkan serta meluluskan pembelian tiga lot tanah pada harga kira-kira RM10 juta.
“Bagi satu lagi kes yang disiasat, suspek utama bersama Pengurus Besar Agihan Zakat negeri didakwa menyalahguna dana wang zakat menerusi Skim Inapan Kasih dan Bantuan Kewangan berjumlah kira-kira RM184,000 bagi bayaran penyelesaian baki pinjaman perumahan seorang asnaf tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
SPRM Pulau Pinang membuka kertas siasatan terhadap kes itu Januari lalu, susulan pendedahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan DUN pada penghujung 2025.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Karunanithy Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd




