Dron Iran serang pangkalan udara UK di Cyprus, Britain tegaskan tidak campur tangan

Dron Iran serang pangkalan udara UK di Cyprus, Britain tegaskan tidak campur tangan

LONDON: Sebuah dron Iran menyerang landasan pangkalan tentera udara  Tentera Udara Diraja Britain (RAF) di Cyprus, beberapa jam selepas Perdana Menteri, Keir Starmer menegaskan Britain tidak akan menyertai konflik AS-Israel dengan Iran.

Starmer berkata, pihaknya mengambil iktibar daripada kesilapan semasa perang Iraq.

“Saya ingin jelaskan, kita semua ingat kesilapan Iraq. Dan kita telah mempelajari pengajaran itu. Kami tidak terlibat dalam serangan awal ke atas Iran dan kita tidak akan menyertai tindakan ofensif sekarang,” katanya.

Beliau mengumumkan bersetuju dengan permintaan AS untuk menggunakan pangkalan Britain bagi tujuan pertahanan khusus dan terhad.

Menteri Asia Barat, Hamish Falconer turut menekankan pada Isnin bahawa ‘Britain tidak berperang’.

“Jelas saya nyatakan, Britain membuat keputusan untuk tidak menjadi sebahagian daripada gelombang serangan pertama yang dijalankan oleh kerajaan AS dan Israel.

“Tetapi berdepan serangan tidak bertanggungjawab Iran terhadap pelbagai sekutu di rantau ini, kami membuat keputusan, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri malam tadi, untuk menyokong permintaan AS menggunakan pangkalan kami bagi menjalankan tindakan pertahanan,” tambahnya.

Menteri Luar, Yvette Cooper berkata, serangan ke atas pangkalan RAF di Akrotiri menyasarkan landasan lapangan terbang dan kerajaan sedang mengusahakan setiap pilihan untuk membantu warganegara Britain di rantau ini pulang jika perlu.

“Kira-kira 300,000 warganegara Britain berada di negara Teluk yang kini menjadi sasaran Iran, termasuk negara di mana ruang udara kini ditutup,” kata Cooper kepada Sky News, sambil menasihati mereka mendaftar dengan pihak berkuasa UK dan mematuhi nasihat di lokasi.

Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides berkata, serangan berlaku selepas tengah malam apabila sebuah pesawat udara tanpa pemandu (UAV) Shahed terhempas ke kemudahan tentera di Pangkalan British Akrotiri, mengakibatkan kerosakan harta benda ringan.

Pangkalan RAF Akrotiri merupakan wilayah luar negara Britain berhampiran bandar pesisir selatan Limassol.

Lebih 100,000 warganegara UK mendaftar kehadiran mereka di Asia Barat setakat ini, menurut Cooper.

Seorang guru Scotland, Felicity Flanagan yang menetap di Dubai berkata, beliau berlindung di rumah sejak Sabtu selepas mendengar letupan kuat di pantai.

“Beberapa saat kemudian, kami melihat serpihan yang dipercayai daripada peluru berpandu jatuh ke dalam air di hadapan kami,” katanya kepada BBC Radio Scotland.

Flanagan kini mengikuti nasihat kedutaan Britain untuk tidak keluar.

Serangan di Cyprus itu mendorong Kesatuan Eropah (EU) memberi jaminan sokongan penuh kepada negara anggota mereka.-AFP

Scroll to Top