am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Seorang lelaki maut, manakala seorang pelajar Tingkatan Satu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan van sekolah di simpang masuk Taman Selindung Daun, Ulu Yam Baru, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, maklumat diterima berhubung kejadian pada jam 8.25 malam.
“Kemalangan berlaku jam 7 malam apabila van yang membawa 10 pelajar sekolah hendak memasuki simpang ke perumahan.
“Semasa membelok ke kanan, datang sebuah motosikal dari arah bertentangan lalu melanggar sisi kiri van terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Manimaran berkata, impak pelanggaran mengakibatkan penunggang motosikal berusia 25 tahun meninggal dunia di Hospital Selayang.
Manakala pemandu van berusia 32 tahun dan sembilan lagi pelajar tidak mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, seorang penumpang iaitu pelajar berusia 13 tahun cedera di pipi dan tangan kiri akibat terkena serpihan cermin van yang pecah.
“Dia kemudian menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kubu Bharu,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas mayat penunggang motosikal dijalankan pada jam 9 pagi tadi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohammadi Mt Abu di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




