Tiga tekong darat dicekup bersama 46 migran

Tiga tekong darat dicekup bersama 46 migran

mhafis@mediaprima.com.my

Sabak Bernam: Tiga lelaki warga Indonesia dipercayai tekong darat dicekup bersama 46 migran dalam operasi bersepadu khas Op Pintas di perairan Sabak Bernam, awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira jam 2 pagi itu dilancarkan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Task Force NSO MAPO, Kementerian Dalam Negeri.

Pengarah JSJ, Datuk M Kumar berkata, serbuan dilakukan kira-kira tiga batu nautika dari perairan Sabak Bernam.

Menurutnya, operasi itu membawa kepada penahanan 49 individu terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia berusia antara 42 hingga 45 tahun yang dipercayai berperanan sebagai tekong serta 46 migran Indonesia.

“Daripada jumlah migran ditahan, 26 adalah lelaki dan 20 wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua migran dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia dari persisiran pantai Sabak Bernam dengan menggunakan bot jenis ‘pom pom’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap migran dipercayai membayar antara RM1,500 hingga RM2,000 secara tunai kepada transporter bagi tujuan penyeludupan itu.

Katanya, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan.

“PDRM menegaskan akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di perairan negara dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah itu diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top