Kurang dua undi! Anthony Loke gesa rakyat persoal ahli Parlimen tak hadir, sokong had 10 tahun PM

Kurang dua undi! Anthony Loke gesa rakyat persoal ahli Parlimen tak hadir, sokong had 10 tahun PM

Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP), Anthony Loke meluahkan kekecewaan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun gagal diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, kesemua 40 Ahli Parlimen DAP hadir bagi menyokong pindaan berkenaan.

Anthony Loke gesa rakyat persoal ahli Parlimen

Malah, ujarnya, parti itu telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk merealisasikan agenda reformasi tersebut.

“Masyarakat sivil dan pengundi yang ingin melihat reformasi institusi dalam negara perlu mengecam dan mempersoalkan Ahli-ahli Parlimen yang tidak hadir dan tidak menyokong pindaan ini termasuk blok pembangkang!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU itu selepas gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Menerusi undi belah bahagian, seramai 146 Ahli Parlimen menyokong, 44 berkecuali manakala 32 lagi tidak hadir.

Untuk pindaan itu diluluskan, ia memerlukan sokongan dua pertiga iaitu sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen, menjadikan RUU berkenaan kekurangan dua undi untuk melepasi syarat perlembagaan.

Keputusan pengundian diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul selepas RUU berkenaan dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Artikel lain: Kerajaan akan bentang RUU hadkan jawatan PM tidak lebih 10 tahun

Dengan keputusan itu, RUU yang membabitkan pindaan terhadap Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa ke peringkat bacaan kali ketiga untuk diluluskan.

RUU tersebut sebelum ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Bacaan kali kedua pula dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini sebelum sesi perbahasan diteruskan oleh Ahli Parlimen.

Sumber: FB Anthony Loke Siew Fook

Scroll to Top