Pertandingan Tenun Pahang Diraja tawar hadiah lumayan, cabaran lebih besar

Pertandingan Tenun Pahang Diraja tawar hadiah lumayan, cabaran lebih besar

KUANTAN : Cabaran lebih besar bagi peserta Piala Tengku Azizah Pertandingan Tenun Pahang Diraja tahun ini apabila perlu menghasilkan satu set lengkap kain samping, tanjak dan bengkung dalam sehelai kain tenunan.

Pertandingan  yang kali kedua dianjurkan itu menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM73,000 keseluruhan selain piala dan sijil penyertaan.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, pertandingan tahun lalu yang diadakan di Pulau Keladi, Pekan menarik 103 penyertaan.

“Pada tahun lalu, peserta dikehendaki menghasilkan tenun kain samping dan sarung namun kali ini formatnya sedikit berbeza apabila peserta perlu menghasilkan tenun kain samping, tanjak dan bengkung dalam sehelai kain mengikut ukuran yang sudah ditetapkan.

“Selain itu, motif tenunan mesti mempunyai identiti Pahang iaitu bunga colek kecil dan sepit udang selain mengutamakan teknik ikat Pakan manakala penggunaan warna asli, double tied dan tenunan double wave akan diberi kelebihan markah.

“Penyertaan boleh dibuat secara perseorangan atau berkumpulan tidak melebihi tiga orang dan mereka diberi masa selama tiga bulan untuk menyiapkan kain tenun masing-masing,” titah baginda dalam sidang media pertandingan tersebut  di Muzium Seni Kontemporari Pahang (MOCA), di sini,  hari ini.

Baginda bertitah, pertandingan itu dianjurkan bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada artisan tenun melalui penghasilan karya Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi selain mencungkil bakat penenun kreatif dan inovatif.

“Beta berjuang menghidupkan semula tenun Pahang kerana suatu ketika dahulu hanya tinggal kira-kira 12 penenun sahaja di negeri ini dan semuanya tertumpu di Pekan. Ketika itu, seni tenun Pahang hampir pupus. Sebab itu kita wujudkan institusi tenun, cari silibus dan berkongsi teknik supaya warisan ini dapat diteruskan kepada generasi akan datang,” titah baginda.

Menurut baginda, sepanjang lebih 20 tahun usaha pemuliharaan dilakukan, pelbagai inovasi dan rekaan baharu berjaya dihasilkan tanpa menghilangkan identiti asal tenun Pahang. – UTUSAN

Scroll to Top