BEIRUT – Tentera Israel melancarkan siasatan selepas tular gambar menunjukkan seorang anggotanya mencemarkan patung Virgin Mary di selatan Lubnan.
Menurut laporan, gambar itu memaparkan seorang tentera meletakkan rokok pada mulut patung berkenaan sambil dia sendiri sedang merokok.
Tentera Israel pada Rabu menyatakan pihaknya memandang serius insiden tersebut dan berjanji akan mengambil tindakan terhadap anggota terbabit.
The Times of Israel melaporkan siasatan awal mendapati gambar itu dirakam beberapa minggu lalu di kampung Debel yang majoriti penduduknya beragama Kristian sebelum dikongsi di media sosial baru-baru ini.
Ia merupakan insiden terbaharu melibatkan tentera Israel yang didakwa mencemarkan tapak keagamaan serta memusnahkan harta benda di selatan Lubnan.
Bulan lalu, seorang lagi tentera Israel turut dirakam merosakkan patung Jesus di kampung sama.
Media Lubnan melaporkan tentera Israel turut memusnahkan panel solar di Debel yang digunakan untuk membekalkan elektrik kepada sistem air bandar itu selain merobohkan rumah, jalan dan pokok zaitun.
Insiden tersebut berlaku ketika Israel meningkatkan serangan ke atas Lubnan termasuk di Beirut dengan alasan menyasarkan pejuang Hizbullah dan infrastruktur kumpulan itu.
Tentera Israel juga dilaporkan terus menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan serta memusnahkan seluruh kampung di wilayah berkenaan.
Skala kemusnahan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pegawai Lubnan bahawa mangsa perang mungkin tidak lagi mempunyai tempat untuk kembali.
Kebimbangan turut meningkat terhadap layanan terhadap penganut Kristian di Israel dan wilayah Palestin yang diduduki.
Kumpulan agama mendokumentasikan peningkatan gangguan dan keganasan terhadap paderi, jemaah Kristian Palestin dan pelawat keagamaan termasuk serangan dan tindakan meludah yang didakwa dilakukan pelajar ultra-Ortodoks Yahudi.
Antara insiden yang mencetuskan perhatian ialah serangan terhadap seorang biarawati warga Perancis berhampiran Kota Lama Baitulmaqdis bulan lalu.
Rakaman video menunjukkan seorang lelaki menolak wanita itu sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan di kepala sebelum menendangnya ketika mangsa berada di atas jalan.
Polis Israel kemudian mengumumkan penahanan seorang lelaki berusia 36 tahun susulan insiden tersebut.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu turut mengutuk tindakan memusnahkan patung Jesus di Debel sebelum ini.
Dua anggota tentera yang terlibat dalam kejadian itu digantung daripada tugas tempur dan dipenjara selama 30 hari.
Laporan itu turut menyatakan tindakan disiplin terhadap tentera Israel jarang dilakukan walaupun banyak dakwaan pelanggaran hak asasi dibangkitkan.
Tiada anggota tentera Israel didakwa atas pembunuhan rakyat Palestin sepanjang sedekad lalu walaupun lebih 72,000 orang dilaporkan terbunuh dalam perang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pasukan Israel juga didakwa memusnahkan lebih 800 masjid di Gaza termasuk Masjid Besar Omari selain beberapa gereja termasuk Saint Porphyrius Church yang merupakan antara gereja tertua di dunia. – Agensi



