Shah Alam: Seorang pengarah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 11 pertuduhan membabitkan penipuan tanah dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM3.7 juta.
A Rama Rao, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai pengarah syarikat RV Global Sdn Bhd, telah memperdayakan sebuah syarikat perindustrian dengan mendorong syarikat berkenaan untuk menyerahkan tanah seluas 3.24 hektar di Serendah, Hulu Selangor.
Lelaki itu menyatakan bahawa dia adalah wakil daripada 136 bekas pekerja Ladang Serendah, dengan penyerahan itu tidak akan dilakukan oleh syarikat perindustrian terbabit jika tidak diperdaya sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan di syarikat perindustrian terbabit di Shah Alam pada 18 Julai 2007 dan didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan seterusnya, dia didakwa telah membabitkan diri secara langsung dalam dua proses pemindahan hak milik tanah syarikat RV Global Sdn Bhd, iaitu syarikat miliknya kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd berkeluasan 0.216 hektar dan 0.6158 hektar yang juga hasil daripada aktiviti haram.
Kedua-dua pemindahan itu dilakukan di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Selangor, Klang pada 18 Julai 2023 dan 19 November 2024.
Dia juga didakwa telah memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram masing-masing berjumlah RM318,605, RM24,000, RM136,000, RM130,000, RM100,000, RM2 juta, RM700,000 dan RM300,000 antara 30 Disember 2024 hingga 30 Disember 2025 ke akaun bank antaranya syarikat lain miliknya sendiri, akaun bank isteri, anak, akaun pelaburan, akaun simpanan tetap dan saudara.
Bagi dua kesalahan pemindahan hak milik tanah, Rama Rao didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan dibaca bersama dengan Seksyen 87(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta serupa.
Lapan lagi kesalahan pemindahan wang dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta 613 dan dibaca bersama dengan Seksyen 87(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta serupa.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan terbabit dilakukan atau RM5 juta yang mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan berjumlah RM100,000 bagi semua kesalahan selain tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan antaranya menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam M Teeruvarasu kemudiannya memohon agar mahkamah memberikan kadar jaminan yang munasabah dengan mengambil kira Rama Rao adalah pesakit buah pinggang yang memerlukannya hadir ke hospital tiga kali seminggu selain dia penanggung tunggal isterinya yang berusia 63 tahun.
“Tertuduh juga telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan dan dia tidak mempunyai sebarang kesalahan sebelum ini,” katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM80,000 dan membenarkan semua syarat tambahan berkenaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Jun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




