Istanbul: Kumpulan Houthi Yaman pada Isnin malam mendakwa melancarkan tiga operasi ketenteraan yang menyasarkan dua lapangan terbang, sebuah kemudahan minyak dan beberapa kemudahan tentera di Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam kenyataan di platform media sosial X, jurucakap Houthi Yahya Saree berkata, operasi itu membabitkan sejumlah besar peluru berpandu balistik dan krus serta dron.
Saree berkata, operasi pertama menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di ibu negara Riyadh, dengan mendakwa serangan itu mengenai sasaran dan menyebabkan lalu lintas udara terganggu.
Menurut beliau, operasi kedua menyasarkan sebuah kilang penapisan milik syarikat minyak negara Aramco di Rabigh, wilayah Makkah, sambil mendakwa serangan itu menyebabkan kebakaran di kemudahan berkenaan.
Menurut Saree, operasi ketiga menyasarkan Lapangan Terbang Abha, pangkalan Khamis Mushait dan kem Akfa di wilayah Asir, selain beberapa lokasi lain yang disifatkannya sebagai ‘lokasi sensitif’ di Najran dan Jazan di barat daya Arab Saudi.
Saree mendakwa operasi itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap 60 serangan udara dan peluru berpandu Arab Saudi dalam tempoh 24 jam sebelumnya yang menyasarkan Sanaa serta wilayah Al-Jawf, Taiz, Hajjah, Saada dan Marib di Yaman.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan serangan udara dan peluru berpandu sejak peningkatan ketegangan bermula kini mencecah 1,576.
Saree turut memberi amaran kepada syarikat penerbangan antarabangsa yang menggunakan ruang udara Arab Saudi supaya tidak meneruskan penerbangan, dengan mendakwa ruang udara negara itu kini termasuk dalam kawasan operasi kumpulan berkenaan, kecuali ruang udara di Makkah dan Madinah.
Setakat ini, tiada ulasan segera daripada pihak berkuasa Arab Saudi berhubung dakwaan Houthi itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




