Liverpool: Pemain tengah Liverpool, Florian Wirtz disahkan tidak akan beraksi menentang Wolverhampton Wanderers pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), pada awal pagi Rabu.
Namun, pengurus, Arne Slot berkata, bek kanan Belanda Jeremie Frimpong sudah kembali cergas dan sedia diturunkan.
Wirtz, yang mengalami kecederaan belakang ketika sesi memanaskan badan sebelum kunjungan ke Nottingham Forest, bulan lalu, terlepas kemenangan 5-2 di laman sendiri ke atas West Ham United pada Sabtu.
“Saya rasa (perlawanan awal pagi Rabu) terlalu awal,” kata Slot pada ketika Liverpool yang kini di tangga kelima menyasarkan kemenangan liga keempat berturut-turut apabila menentang Wolves.
“Saya tidak menjangka dia (Wirtz) tidak akan tersedia hari ini, jadi kadang-kadang keadaan kecederaan boleh berkembang sama ada secara positif atau negatif.
“Sekarang kami fikir ia tidak akan mengambil masa terlalu lama, tetapi Selasa mungkin terlalu awal.
“Minggu selepas itu agak sukar berdasarkan keadaan semasa.”
Frimpong memberikan impak positif apabila masuk sebagai pemain gantian menentang West Ham pada minit-minit akhir, tetapi Slot tetap berhati-hati mengenai beban permainannya dalam jadual padat.
“Mendapatkan Jeremie kembali memang sangat baik, tetapi perkara itu (kecederaan) tetap bermain di fikiran kerana kami bermain tiga perlawanan dalam tujuh hari… terutama bagi pemain yang baru pulih daripada kecederaan,” kata Slot.
“Saya lebih suka berdepan masalah seperti ini daripada melihat dia bersama pasukan perubatan untuk pemulihan.”
Walaupun Wolves hanya mencatat dua kemenangan musim ini, Slot memberi amaran agar tidak memandang rendah lawan itu, sambil menegaskan daya saing mereka.
“Kami tahu akan berdepan perlawanan yang sukar nanti,” tambahnya.
Selepas perlawanan awal pagi Rabu, Liverpool sekali lagi akan berkunjung ke Wolves untuk perlawanan pusingan kelima Piala FA, awal pagi Sabtu nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




