redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) membuat kejutan sempena sambutan ulang tahun kelimanya dengan menghadiahkan pakej umrah kepada Mohd Nizam Mohamad Idrus atau dikenali Abang Mr Bean.
Abang Mr Bean tular menerusi kisahnya sebagai pemintal belon dan penghibur jalanan.
Terdahulu, berita gembira itu disampaikan kru produksi syarikat bersama pempengaruh, Edin Komeng yang pada mulanya merancang memborong kesemua belon jualan Mohd Nizam, 49.
Mereka kemudian menyampaikan berita gembira itu kepada Mohd Nizam dan isterinya, Suraya Zulkifli, 49, yang juga antara penerima tajaan Umrah 1,000 Asnaf 1448H daripada ikhlas.com.
“Saya terharu sangat. Saya tak pernah jangka di awal bulan Ramadan ini saya mendapat kejutan sebegini.
“Apa yang saya lalui sepanjang perjalanan hidup kami berdua ini, saya rasa Allah SWT sudah balas dengan cara yang tak disangka-sangka.
“Umrah bukan kepada yang mampu tetapi bila Allah SWT seru, benda ini (umrah) tak mustahil akan berlaku,” kata Mohd Nizam.
Program Umrah 1,000 Asnaf dilancarkan pada 19 Mac 2025 sempena sambutan Ulang Tahun ke-5 ikhlas.com yang berobjektifkan memperkasakan komuniti setempat, dan mengenal pasti golongan asnaf dalam merealisasikan impian mereka melaksanakan ibadah umrah.
Ia selaras misi syarikat itu untuk menjadikan umrah sebagai ziarah mampu diakses oleh semua umat Islam, termasuk mereka yang kurang berkemampuan bagi sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Pelepasan seterusnya untuk musim umrah 1448H dijadualkan selepas musim haji akan datang.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kisah Mohd Nizam yang belum dikurniakan zuriat, namun bahagia dengan kehidupannya sebagai pemintal belon dan penghibur jalanan sejak tiga tahun lalu.
Mohd Nizam yang juga penyunting video bebas tidak berseorangan kerana sering ditemani isteri tercinta, Suraya sebagai tulang belakangnya sejak awal perkahwinan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




