mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi rock yang juga bekas vokalis kumpulan Kamikaze, T-Rex turut sama memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini apabila menghasilkan single berjudul Memori Hari Raya.
T-Rex atau nama sebenarnya, Terence Law, 51, berkata, penghasilan lagu ini juga membawa isyarat kepulangan semula dirinya dalam arus perdana industri muzik selepas lama menyepi.
“Boleh dikatakan ini lagu istimewa sempena Aidilfitri 2026 kerana ia juga adalah lagu raya pertama saya sepanjang terbabit dalam karier nyanyian, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni saya.
“Pemilihan lagu bertemakan hari raya sebagai single ‘comeback’ bukanlah satu kebetulan. Raya adalah tentang pulang. Dan bagi saya, ini juga mengenai pulang kepada muzik dan diri sendiri.
“Lagu ini membawa tema kepulangan ke kampung halaman, kekeluargaan serta kenangan indah Aidilfitri yang menyentuh hati,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya lagi, dengan sentuhan emosi yang matang serta elemen moden, ia diharap dapat menjadi lagu yang dekat di hati pendengar.
“Malah muzik video rasmi lagu ini turut menampilkan suasana kampung yang meriah, interaksi kekeluargaan serta elemen komuniti yang menggambarkan semangat sebenar Aidilfitri iaitu kebersamaan dan kesyukuran,” katanya.
Single Memori Hari Raya diterbitkan oleh Melissa Ng di bawah Dark Circle Entertainment dengan susunan muzik oleh Melissa Ng dan Yon Iskandar.
“Saya merakamkan penghargaan khusus kepada Melissa yang banyak memainkan peranan dalam membawa saya kembali ke layar dan pentas muzik.
“Ini bukan sekadar satu projek, tetapi permulaan kepada lebih banyak kerjasama menarik yang akan datang
“Dengan Memori Hari Raya saya berharap kemunculan semula ini dapat membuka lembaran baharu dalam perjalanan muzik saya serta terus mendapat sokongan peminat lama dan baharu,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




