lizamridzuan@hmetro.com.my
Tidak perlu menjadi individu terkenal untuk membawa mesej perpaduan kaum di Malaysia dan ada kalanya, cukup dengan sekadar memaparkan nilai murni dalam kehidupan seharian.
Melaluinya, ia juga mampu memberi kesan positif kepada masyarakat.
Lee Joey Leng atau lebih dikenali sebagai Joey Leng, 26, ialah pencipta kandungan yang bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, malah berjaya menarik perhatian ramai menerusi perkongsian kisah perjalanan hidupnya seakan orang Melayu.
Bagi wanita muda ini, perpaduan bukan topik berat yang perlu dibahaskan di pentas forum atau sidang media dan ia bermula daripada perkara paling asas iaitu cara kita bercakap, dan menghormati orang lain.
Joey membesar di Ipoh, Perak dalam suasana masyarakat majmuk yang membentuk perspektifnya sejak kecil.
Kepelbagaian bukan sesuatu yang asing, sebaliknya menjadi latar biasa dalam kehidupannya.
Baginya, bahasa Melayu tidak pernah dianggap sebagai ‘bahasa kedua’. Ia bahasa kebangsaan dan bahasa identitinya sebagai rakyat Malaysia.
“Saya membesar dalam persekitaran pelbagai kaum dan sudah biasa bertutur dalam bahasa Melayu sejak kecil.
“Malah, saya turut bertutur dalam bahasa Melayu di rumah. Saya juga memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) malah pengalaman di sekolah berasrama menjadikan bahasa Melayu sebati dalam kehidupan harian saya,” katanya.
Namun, jelas Joey, kefasihan itu bukan sekadar hasil persekitaran atau sistem pendidikan yang dilalui, ia lahir daripada keputusan peribadi untuk benar-benar menguasai bahasa Melayu kerana dia tidak mahu hidup di negara sendiri dalam keadaan terasing daripada masyarakat sekeliling.
Pada masa sama, Joey melihat stereotaip bahawa orang Cina tidak fasih berbahasa Melayu sebagai pandangan yang sempit.
Hakikatnya, ramai yang mampu bertutur dengan baik, cuma tidak selalu diberi ruang atau ditonjolkan.
Apa yang paling dihargainya tentang bahasa Melayu ialah kelembutan dan kuasanya yang boleh disampaikan dengan santun, namun tetap tegas dan penuh makna.
Bahasa itu, katanya, mempunyai jiwa tersendiri.
Setiap kali bertutur dalam bahasa kebangsaan, dia merasakan dirinya sedang membina jambatan, bukannya tembok dan dalam konteks Malaysia hari ini, itu satu tanggungjawab yang besar dan tidak boleh dipandang ringan.
Walaupun memiliki Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, hatinya lebih cenderung kepada dunia komunikasi dan masyarakat.
Baginya, teori ekonomi mengajar tentang sistem dan struktur, tetapi interaksi manusia mengajar tentang nilai dan jiwa.
“Ketika menuntut di USM, saya juga aktif dalam aktiviti kepimpinan dan pernah mewakili Malaysia dalam program antarabangsa seperti ‘Ship for Southeast Asia Youth Program’ yang mana saya berbincang tentang ekonomi antara Asia dan Jepun.
“Pengalaman itu banyak membentuk cara saya melihat dunia, bahawa suara anak muda Malaysia sebenarnya sangat bernilai,” katanya.
Pengalaman bersekolah di Sekolah Menengah Sains Tapah, sebuah sekolah berasrama penuh, menjadi antara titik penting dalam hidupnya.Tinggal sebumbung dengan rakan-rakan Melayu, India dan pelajar dari pelbagai negeri membuka ruang kefahaman yang tidak mungkin diperoleh hanya melalui buku teks.
Di asrama, dia belajar bahawa perbezaan bukan sesuatu yang perlu ditakuti malah berkongsi lauk di meja makan, berjaga malam untuk ulang kaji dan melalui saat jatuh bangun bersama menjadikan mereka lebih daripada sekadar rakan sekolah, sebaliknya seperti sebuah keluarga kecil yang dibina atas rasa saling percaya.
Joey juga sering menerima jemputan ke rumah sahabat-sahabatnya setiap kali Aidilfitri, Deepavali atau Tahun Baharu Cina.
Daripada ruang tamu yang dipenuhi gelak tawa dan meja makan yang sarat dengan juadah pelbagai budaya, dia menyedari bahawa identiti Malaysia hidup dalam hubungan harian dalam kunjungan kecil yang ikhlas dan keselesaan duduk bersama tanpa mempersoalkan perbezaan.
Menyentuh penglibatannya dalam dunia digital yang sering sarat dengan polemik perkauman, Joey memilih untuk tidak ‘menunggang’ isu sensitif demi tontonan.
Kandungannya lebih menjurus kepada pengalaman sebagai anak Malaysia iaitu tentang bahasa, loghat, kisah cinta dan realiti kehidupan seharian yang dekat dengan masyarakat.
“Saya sedar platform media sosial mempunyai kuasa besar dan saya perlu berhati-hati agar setiap kandungan tidak menyentuh sentimen yang boleh memecah-belahkan, sebaliknya membina ruang yang membuatkan orang rasa diterima,” katanya.
Salah satu pengalaman yang turut menarik perhatian ramai ialah apabila dia mencuba berpuasa sewaktu zaman universiti dan meneruskannya sehingga hari ini.
“Pada awalnya sekadar tanda hormat kepada rakan ketika itu yang berpuasa, tetapi lama-kelamaan ia jadi satu perjalanan untuk memahami budaya dan melatih disiplin diri.
“Menahan lapar dan dahaga sambil meneruskan tugas sebagai pencipta kandungan dan ‘live host’ bukan perkara mudah. Perlu bercakap berjam-jam, kekalkan tenaga dan fokus depan kamera dalam keadaan tekak kering memang mencabar.
“Namun, daripada situ, saya belajar bahawa kekuatan sebenar bukan muncul ketika semuanya selesa, tetapi ketika kita tetap komited dan profesional walaupun tubuh sedang diuji,” katanya yang berpuasa penuh setiap tahun.
Satu lagi sisi menarik tentang Joey, setiap kali tiba Ramadan, dia bukan sekadar berpuasa, malah benar-benar menghayati suasana bulan itu.
Katanya, antara momen yang paling dinanti ialah berjalan di bazar Ramadan, membeli juadah berbuka dan merasai sendiri kemeriahan yang selalunya hanya dilihat daripada luar.
Bukan itu sahaja, Joey juga bangun bersahur kerana mahu melalui keseluruhan rutin seperti rakan-rakan beragama Islam yang berpuasa.
Baginya, pengalaman itu memberi gambaran lebih menyeluruh tentang disiplin, pengorbanan dan suasana sebenar sepanjang Ramadan dan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi merasai perjalanan hari daripada sahur hingga berbuka seperti yang dilalui orang lain.
Kerjaya dalam dunia kandungan digital juga bukan sentiasa indah. Dia bermula daripada kosong, belajar menyunting sendiri, memahami algoritma dan berdepan kritikan serta ‘hate’ yang menguji ketahanan mental.
Hari ini, Joey melihat dirinya bukan sekadar pencipta kandungan, tetapi sebagai jambatan kecil dalam masyarakat.
Dia mahu platformnya menjadi ruang untuk golongan muda belajar menerima perbezaan tanpa rasa terancam.
Bagi Joey, keharmonian antara kaum bukan agenda bermusim dan ia adalah pilihan harian untuk bercakap dengan sopan, menghormati budaya orang lain dan meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan.
Dalam landskap sosial yang ada kalanya tegang dengan pelbagai sentimen, wanita ini membuktikan bahawa suara yang lembut juga mampu memberi kesan besar.
“Selalu saya ingatkan diri, kita boleh jadi ‘matcha latte’ paling sedap di dunia sekali pun, tetapi tetap ada orang yang lebih memilih kopi.
“Maksudnya, tidak semua orang akan faham atau menghargai pilihan kita, walaupun kita sudah beri sepenuh hati,” katanya.
Joey tidak menafikan dia menerima banyak pujian sepanjang perjalanan kerjayanya namun pada masa sama, komen negatif tetap hadir tanpa diundang, ia harga yang perlu dibayar apabila memilih untuk berada di ruang terbuka.
“Kita memang tidak mampu memuaskan hati semua orang, dan itu juga bukan tanggungjawab kita.
“Yang lebih penting, kita jelas dengan tujuan sendiri dan terus berpegang pada nilai yang kita percaya,” ujarnya yang bercita-cita mahu berkhidmat dalam kerajaan pada masa hadapan.
Jika mempunyai masa lapang, Joey lebih gemar melakukan perkara yang menenangkan fikiran seperti mendengar lagu-lagu berentak lembut, menulis secara santai dan mengambil ruang untuk membuat refleksi tentang kehidupan.
Namun, sebagai individu yang berada dalam dunia penciptaan kandungan, ilham sering hadir tanpa mengira waktu dan ada kalanya ketika sedang berehat, idea baharu muncul secara spontan dan dia akan segera mencatat atau mengembangkannya.
Baginya, proses kreatif itu sendiri adalah sesuatu yang sangat dinikmati.
Selain itu, Joey juga aktif dalam sukan taekwondo dan kini memegang tali pinggang biru.
Menurutnya, taekwondo bukan sekadar aktiviti fizikal, sebaliknya medium untuk membina disiplin, ketahanan mental.
Katanya, tahap fokus yang tinggi dalam sukan berkenaan turut membantu perjalanan kerjaya dan kehidupannya
© New Straits Times Press (M) Bhd




