Didakwa Tipu RM1.5 Juta Jual Tanah Tak Wujud, Pelakon Wanita Bersama Suami Kini Dalam Senarai Dikehendaki

Didakwa Tipu RM1.5 Juta Jual Tanah Tak Wujud, Pelakon Wanita Bersama Suami Kini Dalam Senarai Dikehendaki

Kes penipuan membabitkan seorang pelakon wanita dan suaminya kini menjadi perhatian selepas seorang lelaki tampil membuat laporan polis dengan dakwaan kerugian mencecah RM1.5 juta.

Memetik laporan Harian Metro, laporan berkenaan dibuat oleh lelaki berusia 56 tahun di Seremban pada 7 Januari lalu, dipercayai melibatkan urusan penjualan tanah lot kurniaan di Selangor yang sebenarnya tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim mengesahkan perkara itu dan memaklumkan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes penipuan produk kosmetik seperti yang tular sebelum ini.

“Perkembangan membabitkan seorang pelakon wanita, setakat ini polis daerah Seremban tidak terima laporan terkait penama berkenaan dalam kes penipuan barangan kosmetik.

“Bagaimanapun penama yang sama bersama suami adalah suspek dalam satu kes disiasat di Seremban berkenaan urusan penjualan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud membabitkan kerugian RM1.5 juta,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan beberapa tindakan awal sudah diambil susulan maklumat bahawa pasangan berkenaan dipercayai tidak berada di Semenanjung Malaysia.

“Maklumat setakat ini mendapati kedua-dua suspek berada di Sarawak. Mereka sudah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan dalam Senarai Pemantauan Khas (SPK) Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan kesan dan tangkap,” jelasnya lagi.

Terdahulu, seorang usahawan produk kecantikan tampil menerusi Threads mendakwa menjadi mangsa penipuan pelakon sama bersama suaminya, dengan kerugian sekitar RM300,000.

Menerusi akaun kakbeyna_official, individu itu turut mendakwa terdapat mangsa lain yang mengalami kerugian lebih besar sehingga mencecah jutaan ringgit. Malah, dia turut memuat naik tangkap layar mesej perbualan serta salinan MyKad dipercayai milik pelakon berkenaan dan lelaki yang didakwa sebagai suaminya.

Susulan pendedahan itu, ruangan komen media sosial mula dibanjiri spekulasi apabila netizen ‘memetik’ beberapa nama pelakon wanita yang dilihat sudah lama tidak aktif dalam industri seni.

Beberapa laporan polis difahamkan sudah dibuat dan kes kini dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top