am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon dan penyanyi, Janna Nick, 31, berkongsi pengalaman mengejutkan apabila seorang rakan artis yang dikatakan ‘scammer’ menghantar mesej kepadanya untuk meminjam wang selepas lama menghilangkan diri.
Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, berkongsi perkara itu menerusi hantarannya di Threads.
“Saya ada cerita pasal rakan artis yang ‘scam’ itu. Kami pernah rapat dan dia menghilang secara tiba-tiba.
“Beberapa tahun selepas itu, dia pernah WhatsApp nak pinjam duit. Lepas dapat mesej tak sampai beberapa saat, saya terus hubungi dia sebab saya rindu dia. Tiba-tiba suaminya yang angkat telefon, tak ke terkejut?” tulisnya.
Janna turut mempersoalkan mengenai siapa individu sebenar yang membalas mesej berkenaan sekiranya artis terbabit tidak memegang telefonnya sendiri.
“Kita mesej kawan kita, tapi suaminya yang angkat telefon dan cakap kawan kita dekat klinik. Habis itu yang balas mesej itu siapa? Saya harap, ada orang boleh selamatkan dia sebab saya tak rasa nombor telefon itu dia yang pegang,” tulisnya lagi.
Terdahulu, seorang usahawan produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang pelakon wanita bersama suaminya membabitkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Pendedahan itu dibuat menerusi hantaran di aplikasi Threads, mendakwa aktres yang sering menghiasi drama di TV kini sedang ‘bersembunyi’ selepas didakwa menipu wang mangsa.
Menurut mangsa yang menggunakan nama akaun Threads, kakbeyna_official, dia mengalami kerugian sebanyak RM300,000 (tiga ratus ribu ringgit), namun mendakwa terdapat mangsa lain yang mengalami kerugian jauh lebih besar sehingga mencecah jutaan ringgit.
Ekoran pendedahan itu, rata-rata netizen mula memetik beberapa nama pelakon wanita yang sudah lama menyepi daripada industri seni ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




