Personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming menyelitkan pesanan ringkas namun sarat makna menerusi video resipi chocolate mousse segera yang dikongsikan baru-baru ini.
Peminat mula berspekulasi dan mendakwa Khairul Aming tampil mempertahankan rakan seperjuangannya, Che Sayang Kitchen, selepas segelintir netizen mengkritik resipi masakan yang dikongsikan sebagai terlalu ringkas dan tidak asli.
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak ketika berkongsi resipi chocolate mousse segera itu, Khairul Aming sempat menyelitkan pesanan mendalam.
“Ini resipi chocolate mousse segera yang hanya memerlukan empat bahan. Tiga bahan boleh dibeli di kedai.
“Tapi satu lagi bahan, walaupun kita ada banyak duit sekalipun, kita tetap tak boleh beli.
“Video ini bukan video profesional, bukan untuk dijual di restoran, dan bukan juga untuk mereka yang mempunyai akses kepada semua bahan atau peralatan industri.
“Video ini dibuat supaya kita boleh cipta satu momen di rumah dengan memasak menggunakan apa yang kita ada,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairul Aming berpendapat resipi yang mudah dan ringkas sebenarnya memberi ruang kepada orang ramai untuk mencuba memasak, selain menjadi peluang mencipta kenangan bersama insan tersayang.
“Ada yang buat resipi ini sebagai kenangan dengan anak-anak sebelum mereka meningkat dewasa.
“Ada juga yang memasak bersama keluarga atau rakan-rakan kerana bukan mudah untuk mengumpulkan semua orang dalam satu masa.
“Ada yang mungkin tak cukup bahan, tak cukup ilmu, atau tak mempunyai peralatan lengkap.
“Tapi tak mengapa, kita buat sahaja dengan apa bahan yang ada,” jelasnya.
Di akhir pesanan dalam video tersebut, Khairul Aming menegaskan bahawa kegagalan tidak seharusnya ditakuti, sebaliknya usaha untuk mencuba adalah perkara paling penting.
“Kalau masakan tak menjadi pun tak apa. Sekurang-kurangnya kita sudah mencuba. Kalau dari awal kita fikir memasak itu susah dan mesti sempurna, macam mana kita nak tarik anak muda masuk dapur?
“Bahan keempat sebenarnya ialah usaha kita untuk mencuba,” katanya lagi.
@khairulaming Resipi ni guna 4 bahan, 3 bahan boleh di beli di kedai tapi ada 1 bahan yang takkan boleh beli walau dengan duit sebanyak mana sekalipun




