PETALING JAYA: Beregu No. 6 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan rentak kemenangan wakil negara apabila menyingkirkan pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena Birmingham, England, hari ini.
Gandingan No. 2 Malaysia itu melakar kemenangan straight set ke atas beregu No. 22 dunia 21-17, 21-16 dalam masa 41 minit.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan ketiga yang berjaya dicatat Wei Chong-Kai Wun ke atas Fang Chih-Fang Jen dan mereka masih belum tewas di tangan pasangan kembar itu.
Esok, Wei Chong-Kai Wun akan berdepan satu lagi pasangan Taiwan yang menghuni ranking No. 12 dunia, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin di pusingan kedua.
Hsiang Chieh-Chi Lin meneruskan kemaraan mereka selepas menewaskan beregu profesional Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong 21-18, 21-14 dalam masa 41 minit.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, pasangan No. 11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut melayakkan diri ke peringkat 16 terbaik selepas mengetepikan cabaran beregu tuan rumah, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen 21-14, 21-12 dalam masa 39 minit.
Pasangan suami isteri itu merupakan wakil tunggal Malaysia dalam sektor beregu campuran yang berjaya meneruskan kemaraan, setelah empat lagi pasangan negara termasuk beregu No. 4 dunia, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas di pusingan pertama.
Pada peringkat 16 terbaik, Soon Huat-Shevon bakal mengharungi ujian sebenar apabila dijadual bertemu beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.
Beregu ke-37 dunia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien menjadi gandingan campuran terbaru negara yang ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan No. 6 dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China 21-17, 12-21, 9-21 dalam masa 56 minit. – UTUSAN




