Jualan Proton pada Februari susut 31 peratus berbanding Januari

Jualan Proton pada Februari susut 31 peratus berbanding Januari

PROTON Holdings Bhd mencatat jualan sebanyak 13,566 unit pada Februari, penurunan 31 peratus berbanding jualan tertinggi yang direkodkan pada Januari.

Pengeluar automotif itu memaklumkan, walaupun berlaku penurunan, jualan meningkat 20.8 peratus berbanding Februari 2025.

Perkembangan itu menjadikan jumlah jualan keseluruhan bagi dua bulan pertama tahun ini mencecah 33,399 unit, peningkatan sebanyak 57.9 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, tahun 2026 bermula positif didorong permintaan kukuh terhadap model baharunya yang menggabungkan reka bentuk, teknologi, kecekapan dan nilai selain penambahbaikan pengalaman di bilik pameran serta pusat servis yang meningkatkan reputasi jenama.

Menurut beliau, model sedan segmen-C yang baharu dilancarkan, Proton S70 2026 mencatatkan jualan sebanyak 1,940 unit pada Februari sekali gus menjadikannya model kedua dengan jumlah jualan tertinggi Proton.

Jualan tahun ke tarikh (YTD) pula mencecah 3,544 unit, meningkat 51.5 peratus.

“Dalam jangka masa pendek, fokus utama Proton adalah untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dengan meningkatkan pengeluaran dan penghantaran bulanan sambil terus mengekalkan kualiti produk.

“Selain itu, dengan pelaburan yang dibuat di kilang kami di Tanjong Malim sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami mampu menghadapi cabaran tersebut, dan ia dijangka dapat dibuktikan melalui angka jualan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Proton Saga kekal model paling laris dengan 6,047 unit terjual pada Februari, menjadikan jumlah jualan tahun ke tarikh (YTD) mencecah 16,332 unit, meningkat 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Proton X50 yang diberi nafas baharu pada Julai 2025 pula merekodkan jualan sebanyak 1,842 unit pada Februari, dengan jualan YTD mencapai 4,271 unit, iaitu 31.1 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Proton berkata, jumlah volum industri (TIV) dianggarkan susut 17.6 peratus kepada 52,996 unit berikutan penghantaran kenderaan terjejas akibat tempoh perayaan pada pertengahan Februari.

Sehubungan itu, pegangan pasaran Proton bagi bulan berkenaan dijangka berada pada 25.6 peratus manakala pegangan pasaran tahun ke tarikh (YTD) kini berada pada 28.5 peratus.

Ringkasan AI

  • Proton Holdings Bhd mencatat jualan 13,566 unit pada Februari, menurun 31 peratus dari Januari
  • Jualan Februari meningkat 20.8 peratus berbanding Februari 2025
  • Jumlah jualan untuk dua bulan pertama tahun ini adalah 33,399 unit, meningkat 57.9 peratus
  • Model sedan baru, Proton S70 2026 mencatatkan jualan 1,940 unit pada Februari
  • Proton Saga adalah model paling laris dengan 6,047 unit terjual pada Februari
Scroll to Top