Medvedev tinggalkan Dubai, fokus BNP Paribas

Medvedev tinggalkan Dubai, fokus BNP Paribas

Dubai: Bekas pemain nombor 1 dunia, Daniil Medvedev bersama dua pemain Rusia lain berjaya meninggalkan Dubai dan akan beraksi di Terbuka BNP Paribas selepas jadual perjalanan mereka tergendala akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, menurut beberapa laporan.

Andrey Rublev dan Karen Khachanov turut bersama Medvedev dan berjaya meninggalkan Emiriah Arab Bersatu awal pagi tadi, dengan laporan menyatakan ibu Rublev memberitahu mereka memandu ke Oman sebelum terbang ke Istanbul.

Medvedev, juara Terbuka 2021, menjuarai Dubai Duty Free Tennis Championships pada Sabtu selepas lawannya, pemain Belanda Tallon Griekspoor, terpaksa menarik diri kerana kecederaan.

ATP mengesahkan semalam bahawa beberapa pemain mereka berjaya meninggalkan kawasan itu, yang udara ruangnya ditutup akibat ketegangan di Timur Tengah selepas serangan udara pada Sabtu ke atas Iran. Dubai termasuk antara kawasan jiran yang turut terkena serangan balas peluru berpandu Iran.

“Majoriti pemain yang berada di Dubai berjaya berlepas hari ini melalui penerbangan terpilih,” kata ATP dalam kenyataannya.

“Keselamatan dan kebajikan pemain, pasukan sokongan dan kakitangan adalah keutamaan tertinggi kami, dan kami terus berhubung rapat dengan mereka yang terjejas.”

Beberapa pemain ATP lain dilaporkan masih terperangkap di Dubai selepas serangan hujung minggu itu. Antaranya Griekspoor, yang menarik diri dari final Dubai kerana kecederaan hamstring kiri. Menurut akhbar De Telegraaf, Griekspoor akhirnya berjaya terbang ke Milan.

Pemain finalis beregu, Harri Heliovaara (Finland), Henry Patten (United Kingdom), Mate Pavic (Croatia) dan Marcelo Arevalo (El Salvador), turut dilaporkan terperangkap di Dubai.

Perlawanan utama di Indian Wells bermula esok, namun ketiga-tiga pemain Rusia itu mendapat bye pusingan pertama kerana penempatan (seeding). Medvedev adalah pilihan ke-11, Khachanov ke-16 dan Rublev ke-17.

Medvedev dan Rublev terpaksa menarik diri daripada pameran Eisenhower Cup beregu campuran malam semalam di Indian Wells.

Medvedev sepatutnya berpasangan dengan bintang WTA Rusia, Mirra Andreeva, digantikan oleh Alexander Bublik dari Kazakhstan. Rublev digantikan oleh Learner Tien yang berpasangan dengan pemain Amerika, Amanda Anisimova.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top