SHAH ALAM: Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. (Aveta) mengunjurkan pertumbuhan 100 peratus bagi jualan motosikal keluarannya pada tahun ini khususnya segmen skuter.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Steven Lim berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi jualan memberangsangkan pada 2025 iaitu sebanyak tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, pada tahun lalu, kira-kira 30,000 unit motosikal Aveta berjaya dijual.
“Pada tahun ini kita akan lancar sembilan model baharu. Namun, setiap model selepas dilancarkan kita akan dapatkan maklum balas daripada pengguna terlebih dahulu sebelum kita lancar model baharu lain.
“Ini supaya kita boleh buat penambahbaikan agar model berkenaan benar-benar dapat memenuhi keperluan penunggang dan pembonceng,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran dua skuter baharu keluaran Aveta, iaitu Bellagio 125 dan Viper 180.
Bellagio 125 berkapasiti enjin 124cc menampilkan konsep moden retro yang sesuai untuk kegunaan harian di kawasan bandar.
Viper 180 yang dikuasakan enjin 174cc pula menawarkan pecutan responsif bagi kegunaan di bandar dan lebuh raya.
Kedua-dua model masing-masing ditawarkan pada harga RM6,998 dan RM8,998 tidak termasuk insurans serta cukai jalan.
Steven memberitahu, ini pertama kali Aveta menawarkan skuter berkonsepkan retro (Bellagio 125) dan jenis sederhana (Viper 180).
Jelasnya, sambutan yang diterima amat baik dengan lebih 2,000 unit kedua-dua model terbabit sudah habis ditempah. – UTUSAN



