news@nst.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mempertimbangkan pengambilan doktor warga asing sebagai penyelesaian sementara bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja kesihatan yang kritikal di Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, kadar pegawai perubatan yang gagal melapor diri untuk jawatan tetap meningkat mendadak daripada dua peratus pada 2022 kepada 20 peratus pada 2023.
Katanya, angka itu terus melonjak kepada kira-kira 40 peratus pada 2025, manakala penempatan di hospital Sabah bulan ini mencatatkan kegagalan melapor diri sebanyak 66 peratus.
“Sebagai langkah jangka pendek, adakah kerajaan bersedia mengambil doktor warga asing, bermula dengan graduan antarabangsa yang kita latih sendiri di universiti perubatan tempatan, berserta jaminan keselamatan pesakit yang sewajarnya?
“Langkah ini hanya wajar dijadikan penyelesaian sementara dan bukannya pengganti kepada usaha meningkatkan gaji serta prospek kerjaya doktor tempatan kita.
“Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melaporkan kadar kegagalan melapor diri di Sabah dan Sarawak berada antara 70 hingga 76 peratus.
“Ini bukan lagi petanda awal, sebaliknya satu situasi kecemasan,” katanya ketika membahaskan laporan Jawatankuasa Pilihan Kesihatan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Kelvin turut memetik beberapa hospital yang berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang serius, termasuk Hospital Beluran yang tidak menerima sebarang doktor baharu dan kini hanya beroperasi dengan enam doktor.
Katanya, Hospital Kudat hanya menerima empat daripada 17 doktor yang diperuntukkan, manakala Hospital Sri Aman hanya menerima enam daripada 20 doktor.
Bagi mengatasi isu berlarutan ini, beliau mendesak kerajaan mengembalikan semula kadar Elaun Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan untuk pegawai kesihatan di Sabah dan Sarawak, selain menyediakan bantuan perpindahan awal berdasarkan kos sebenar.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang mempunyai kuasa menentukan ganjaran tanpa terikat dengan skema perkhidmatan awam am.
“Naikkan pangkat doktor dengan serta-merta sebaik sahaja dilantik secara tetap, dan jadikan perkhidmatan di Sabah serta Sarawak sebagai insentif untuk mendapatkan tempat latihan kepakaran.
“Tetapkan tempoh perkhidmatan wajib secara jelas, sama ada 12 hingga 24 bulan, bersama pakej ganjaran yang setimpal serta faedah kerjaya yang nyata selepas itu,” katanya.
Pada 1 Oktober lalu, MMA mendesak kerajaan mengembalikan pembayaran BIW berasaskan peratusan bagi menarik dan mengekalkan perkhidmatan doktor di Sabah dan Sarawak, berikutan 76 peratus pegawai perubatan gagal melapor diri bagi penempatan tetap di wilayah berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




