Tehran: Upacara pengebumian Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, ditangguhkan kerana serangan hebat pasukan Amerika Syarikat (AS) dan Israel masih berterusan di seluruh negara, lapor BBC.
Seorang pegawai berkata, terdapat banyak permintaan orang ramai untuk menghadiri upacara yang dijadualkan bermula pada Rabu malam, tiga hari di kompleks solat Tehran dan infrastruktur perlu disediakan.
Difahamkan, seorang anggota Majlis Pakar berkata, badan keagamaan itu ‘hampir’ memilih pengganti Khamenei, yang terbunuh dalam serangan pada permulaan serangan AS dan Israel pada Sabtu.
Khamenei terbunuh pada permulaan serangan AS dan Israel bersama isterinya, seorang anak lelaki dan beberapa pegawai kanan.
Iran membalas dengan melancarkan ratusan misil dan dron ke Israel dan negara Teluk yang menempatkan pangkalan AS.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, pasukan AS dan Israel dijangka menguasai ruang udara Iran dalam beberapa hari dan akan mengawal negara itu.
Dalam pada itu, Majlis Pakar Iran hampir memilih pengganti Khamenei dengan salah seorang anaknya, Mojtaba yang dikatakan calon utama.
Menurut media sama, 88 anggota badan keagamaan itu dipilih oleh rakyat Iran setiap lapan tahun, tetapi Khamenei memastikan mereka adalah konservatif yang akan mengikut panduannya dalam memilih pengganti.
Seorang anggota, Ayatollah Ahmad Khatami berkata, calon dikenal pasti tetapi tidak menamakan mereka.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Israel berkata, mana-mana pengganti yang terus mengancam Israel dan AS akan menjadi ‘sasaran pasti untuk dihapuskan’.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) melancarkan beberapa gelombang serangan di Tehran, termasuk menyerang kompleks ketenteraan, barisan peluru berpandu balistik, sistem pertahanan udara dan lapangan terbang Mehrabad.
Jumlah korban akibat serangan AS dan Israel dilaporkan 1,045 anggota tentera dan orang awam dengan Human Rights Activists News Agency (HRNA) mencatat 1,097 kematian termasuk 181 kanak-kanak.
Serangan Iran ke atas Israel dan negara Arab jiran terus berlaku, sementara Qatar dan Turkiye mengkritik tindakan Iran yang menarik negara jiran ke dalam konflik.
Sepanjang lima hari, serangan misil di Israel mengorbankan 10 orang, termasuk tentera dan orang awam, manakala serangan dron di Arab Saudi dan Qatar dilaporkan berjaya dipintas tanpa kemusnahan besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd



