Polis maut ketika berkawad akibat serangan jantung

Polis maut ketika berkawad akibat serangan jantung

SEPANG: Kematian seorang anggota polis ketika menjalani latihan kawad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini kelmarin disahkan berpunca akibat penyakit jantung atau Coronary Atherosclerosis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, hasil itu diperoleh menerusi bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Menurut beliau, penjelasan lanjut berhubung punca kematian anggota berusia 37 tahun itu turut diberikan secara bersemuka oleh pakar patologi forensik kepada keluarga Allahyarham.

“IPD Sepang menafikan dakwaan tidak berasas yang mengaitkan insiden itu dengan unsur penganiayaan.

“Pada masa sama, satu jawatankuasa penyiasat tetap telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut prosedur operasi standard secara profesional dan telus bagi memastikan setiap aspek diteliti sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Koperal Khairil Idzhar Rodzi yang bertugas di Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda meninggal dunia ketika sesi latihan kawad tambahan di pekarangan padang kawad IPD Sepang kira-kira pukul 4 petang kelmarin.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, Perlis pada pukul 11 pagi semalam.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat tidak sahih demi menjaga sensitiviti dan kebajikan keluarga Allahyarham. – UTUSAN

Scroll to Top