Prestasi kukuh MGB didorong projek luar negara

Prestasi kukuh MGB didorong projek luar negara

Kuala Lumpur: MGB Berhad, syarikat pembinaan dan pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, semalam mengumumkan laporan kewangan tidak diaudit bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (S1 TK2026) menandakan permulaan prestasi yang kukuh.

Bagi S1 TK2026, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM210.1 juta berbanding dengan RM227.7 juta dalam suku yang sama tahun lalu, dengan segmen Pembinaan dan Perdagangan mencatat pertumbuhan stabil disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada projek luar negara.

Ini membantu mengimbangi sebahagian sumbangan segmen Pembangunan Hartanah berikutan penyiapan dan penyerahan milikan kosong beberapa projek.

Selain itu, kumpulan turut mencatat pertumbuhan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak 19 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM14.1 juta, didorong langkah pengoptimuman kos yang memperkukuh margin keuntungan.

Mengulas mengenai keputusan itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, MGB mencatat prestasi memberangsangkan bagi S1 TK2026 dengan merekodkan pertumbuhan keuntungan yang didorong oleh pengurusan kos yang berdisiplin dan pengoptimuman projek, di samping keupayaan pratuang IBS yang meningkatkan kecekapan, memperkukuh kawalan kos dan menyokong penyerahan projek mengikut jadual.

Beliau berkata, MGB kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan dalam kedua-dua segmen perniagaan.

“Segmen Pembinaan dan Perdagangan kami terus mendapat manfaat daripada buku pesanan yang semakin berkembang di Malaysia dan kerajaan Arab Saudi, mencerminkan jangkauan pasaran lebih luas melalui kejayaan memperoleh projek di dalam dan luar negara.

“Sehingga 31 Mac lalu, buku pesanan pembinaan domestik kami adalah berjumlah RM1.25 bilion. Kumpulan terus mengukuhkan saluran projeknya melalui kejayaan memperoleh kontrak baharu termasuk projek Kuarters Pekerja Berpusat bernilai RM200.74 juta di Pulau Pinang dan kontrak vila bernilai RM34.76 juta (SAR32.98 juta) di Arab Saudi.

“Penganugerahan ini menyokong strategi Kumpulan untuk memperluas jejak pembinaannya di luar pasaran sedia ada dan terus memperkukuh kehadirannya di Arab Saudi,” katanya.

Tambahnya lagi, jualan belum dibil MGB yang berjumlah kira-kira RM402.3 juta terus memberikan keterlihatan pendapatan dalam jangka masa terdekat bagi segmen Pembangunan Hartanah.

Katanya, MGB merancang untuk melancarkan projek-projek baharu dalam tempoh dua tahun akan datang dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion dan tumpuan kepada perumahan mampu milik dan pembangunan pocket land.

“Antara pembangunan yang bakal dilancarkan pada tahun ini ialah Starlight Residences di Cameron Highlands yang merangkumi unit apartmen dan kedai runcit dengan anggaran jumlah GDV berjumlah RM128 juta.

“Projek kini berada dalam fasa prapelancaran yang merangkumi kempen pemasaran serta pelbagai persiapan berkaitan sebelum pelancaran rasmi.

“Bersama dengan saluran projek Kumpulan yang lebih meluas, inisiatif ini dijangka akan meningkatkan sumbangan serta mengekalkan momentum pertumbuhan bagi segmen Pembangunan Hartanah pada masa hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top