ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi jaminan Majlis MOM bersama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan terus memperjuangkan usaha membawa sepak takraw ke pentas Sukan Olimpik pada masa depan.
Norza berkata, beliau bersama Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan akan terus menggembleng usaha bagi memastikan generasi muda Malaysia dan antarabangsa berpeluang bersaing merebut pingat Olimpik menerusi sukan tradisi Asia itu.
“Saya dengan Datuk Sumali dan rakan-rakan di MOM akan terus berusaha sedaya upaya untuk menentukan pada satu hari nanti anak-anak muda kita dari Malaysia dan negara lain akan berjuang bermain sepak takraw di Olimpik, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di World Trade Center (WTC), hari ini.
Turut hadir Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader.
Kenyataan Norza itu hadir susulan cadangan Abdul Halim yang mahu sepak takraw disenaraikan sebagai acara Olimpik pada masa depan.
Dalam perkembangan sama, Norza turut memuji kepimpinan Ahmad Sumali yang disifatkan sebagai ‘Bapa Transformasi Sepak Takraw’ susulan kejayaannya membawa perubahan besar sejak mengambil alih tampuk kepimpinan PSM pada 2022.
Beliau menyifatkan kepimpinan Sumali sebagai transformatif dalam usaha memartabatkan sepak takraw ke tahap lebih profesional termasuk membawa semula kejohanan bertaraf dunia ke Malaysia.
Mengulas prestasi skuad negara, Norza berkata, kejayaan Malaysia meraih dua emas pada Piala Dunia 2024 selain menewaskan Thailand pada temasya Sea 2025 acara berpasukan membuktikan sepak takraw negara kini berada di landasan terbaik.
Piala Dunia Sepak Takraw 2026 akan berlangsung di Stadium Titiwangsa esok hingga 23 Mei ini dengan penyertaan pemain dan pegawai teknikal dari pelbagai negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




