SKUAD ragbi wanita Selangor bakal mempertaruhkan sebahagian besar pemain edisi lalu bagi mengekalkan pingat emas yang dimenanginya sebelum ini pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Ogos depan.
Pengendalinya, Mohammad Faiz Samsukhidir berkata bagaimanapun sesi pemilihan pemain tetap diadakan, yang telah bermula tahun lepas, bagi menambah baik kekuatan pasukan sedia ada.
Beliau berkata prestasi pemain akan dinilai semula pada kejohanan pra-SUKMA di Melaka selepas sambutan Aidilfitri, sebelum memuktamadkan senarai akhir 15 pemain untuk mengikuti latihan persiapan menghadapi temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu.
“Bermain di padang sendiri sudah pasti akan memberikan kita sedikit kelebihan, terutama sekali dari segi sokongan warga Selangor, namun tidak dinafikan ia juga mampu memberikan tekanan tambahan kepada pemain.
“Harapan saya supaya para pemain dapat buat yang terbaik dan pada masa sama dapat mengekalkan pingat emas di bumi Selangor,” katanya.
Mohammad Faiz berkata skuad ragbi wanita Selangor bakal berdepan cabaran getir daripada Johor, Kedah, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Pada edisi lalu di Sarawak, skuad ragbi wanita Selangor meraih pingat emas selepas menewaskan tuan rumah 12-7 dalam aksi final di Stadium Miri.
SUKMA 2026 akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang, manakala temasya Para SUKMA berlangsung dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA yang berlangsung di Petaling dan Klang melibatkan 10 sukan dan 316 acara. – Bernama
Ringkasan AI
- SKUAD ragbi wanita Selangor akan mempertaruhkan pemain lama untuk mengekalkan pingat emas di SUKMA 2026
- Sesi pemilihan pemain telah bermula tahun lepas untuk meningkatkan kekuatan pasukan
- Prestasi pemain akan dinilai di kejohanan pra-SUKMA di Melaka selepas Aidilfitri sebelum menentukan 15 pemain akhir
- Mohammad Faiz mengakui bermain di padang sendiri memberi kelebihan dan tekanan pada pemain
- SUKMA 2026 dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos di Litar Antarabangsa Sepang


