mhafis@mediaprima.com.my
Shah Alam: Usaha membanteras rasuah tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan, sebaliknya perlu diperkukuh dengan pendidikan dan penghayatan nilai agama bagi membentuk masyarakat yang menjunjung amanah serta integriti.
Pendekatan itu antara yang diberi penekanan dalam Kunjungan Hormat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor ke Jabatan Mufti Negeri Selangor, hari ini.
Kunjungan itu diketuai oleh Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli bersama Timbalan Pengarah (Operasi), Khairul Izwan Karim itu disambut oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.
Pertemuan berlangsung dalam suasana penuh muhibah dengan kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu semasa yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah pengurusan zakat, tadbir urus dana awam oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pengurusan kewangan termasuk aset digital daripada perspektif syariah.
Mohd Azwan berkata, perbincangan turut memberi penekanan terhadap kepentingan amanah, integriti dan ketelusan dalam pengurusan sumber serta tanggungjawab yang melibatkan kepentingan masyarakat.
“Pendekatan pendidikan dan penghayatan nilai murni dalam islam turut dilihat sebagai salah satu elemen penting dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama strategik melalui pelaksanaan program perkongsian ilmu yang memfokuskan kepada integriti dan pencegahan rasuah dari kaca mata Islam.
Jalinan ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak perkongsian ilmu dan inisiatif bersama dalam menyemai budaya integriti dan antirasuah sekali gus memberi manfaat kepada warga kerja serta masyarakat di Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




