Slot akui kecederaan jejas misi Liverpool pertahan EPL

Slot akui kecederaan jejas misi Liverpool pertahan EPL

London: Pengurus Liverpool, Arne Slot menegaskan masalah kecederaan memainkan peranan besar hingga menjejaskan usaha pasukannya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

The Reds menanggung kekalahan kesembilan liga musim ini selepas tunduk 1-2 kepada Wolverhampton Wanderers yang menghuni tangga tercorot, Rabu lalu, sebelum sekali lagi kembali ke Stadium Molineux untuk aksi pusingan kelima FA Cup, esok.

Slot berkata ketiadaan pemain tengah kreatif, Florian Wirtz yang terlepas tiga perlawanan akibat kecederaan belakang, sedikit sebanyak menjejaskan kemaraan Liverpool.

Menurutnya, Wirtz mungkin kembali berada di bangku simpanan selepas pulih daripada kecederaan berkenaan.

Selain itu, penyerang bernilai rekod Britain, Alexander Isak juga masih tersisih sejak pertengahan Disember akibat patah kaki.

“Saya lihat prestasi beberapa pemain semakin baik, namun perkembangan pasukan ada kalanya terganggu disebabkan kecederaan.

“Seorang pemain yang mampu mencipta banyak peluang dalam situasi permainan terbuka adalah Wirtz, namun dia mengalami kecederaan tiga perlawanan lalu.

“Sebelum itu, dia banyak membantu menghasilkan peluang dan pasukan memiliki keseimbangan yang baik, namun selepas itu kami perlu menyesuaikan semula corak permainan. Situasi itu kerap berlaku musim ini,” kata Slot.

Kepentingan situasi bola mati turut menjadi perhatian sejak kebelakangan ini, terutama apabila kelebihan aspek itu membantu Arsenal mendahului carta liga dengan kelebihan tujuh mata.

Liverpool sebelum ini bergelut memanfaatkan situasi bola mati sama ada ketika menyerang atau bertahan sepanjang kempen musim ini, namun prestasi mereka semakin meningkat sejak awal tahun.

Malah, Liverpool menjaringkan tiga gol hasil sepakan penjuru pada separuh masa pertama ketika menewaskan West Ham United 5-2 hujung minggu lalu.

“Kami bukan satu-satunya pasukan yang sukar mencipta banyak peluang daripada permainan terbuka.

“Ini adalah EPL dan kami berdepan lawan yang kuat, sama seperti pasukan lain,” kata Slot.

Slot dijangka melakukan beberapa perubahan ketika Liverpool sekali lagi menentang Wolves minggu ini, namun beliau berhati-hati mengenai peluang Wirtz diturunkan.

“Dia menjalani latihan separuh bersama pasukan semalam dan itu satu perkembangan positif dalam proses pemulihannya.

“Kami akan lihat keadaan dia hari ini dan dalam situasi terbaik, mungkin dia boleh diturunkan beberapa minit,” kata Slot.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top