Bekas Mufti WP perjelas sebab menterbalikkan tangan ketika membaca doa di majlis pernikahan Syed Saddiq-Bella

Bekas Mufti WP perjelas sebab menterbalikkan tangan ketika membaca doa di majlis pernikahan Syed Saddiq-Bella

Petaling Jaya: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil menjelaskan tindakan menterbalikkan tangan ketika membaca doa dalam majlis pernikahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah, hari ini.

Zulkifli yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, tindakan itu dilakukan ketika membaca doa memohon perlindungan daripada bala dan penyakit.

Jelas beliau, perbuatan itu mempunyai sandaran daripada sunah Rasulullah SAW, khususnya ketika baginda memohon hujan.

“Daripada Anas bin Malik, beliau berkata, maksudnya: ‘Sesungguhnya Nabi memohon hujan, lalu baginda mengisyaratkan ke arah langit dengan belakang kedua-dua tapak tangannya’ (Hadis riwayat Muslim, no 895).

“Hadis ini menjadi sandaran ulama dalam membincangkan keadaan tertentu ketika berdoa dengan membalikkan tangan, khususnya bagi memohon kesusahan diangkat dan keadaan yang buruk diubah dengan rahmat Allah SWT,” jelasnya.Sementara itu kata beliau, Imam al-Nawawi menjelaskan dalam Syarh Sahih Muslim, maksudnya: “Sebahagian ulama dalam kalangan kami dan selain mereka berpendapat bahawa sunat bagi doa untuk mengangkat bala seperti kemarau dan seumpamanya, seseorang mengangkat kedua-dua tangannya dengan bahagian belakang tapak tangannya menghadap ke langit,” tambahnya.

Bagaimanapun beliau berkata, perbahasan lebih lanjut boleh dirujuk menerusi artikel yang ditulis menerusi aplikasi al-Inarah.”Boleh rujuk pautan di al-inarah.com/artic, atau jika ada persoalan berkenaan agama boleh sahaja merujuk 11,000 soal jawab yang sudah kami jawab.

“Atau, ada ruangan khusus ‘Q&A’ di aplikasi ini untuk bertanya soalan secara langsung,” ujarnya.

Terdahulu, amalan menterbalikkan tangan ketika membaca doa sudah pernah dijelaskan oleh Zulkifli, sebelum ini.

Namun, tindakan beliau dan beberapa individu lain yang dilihat membalikkan tangan ketika doa dibacakan di majlis pernikahan Bella Astillah dan Syed Saddiq, hari ini, kembali menarik perhatian orang ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top