Ada pemandu bas bersubahat dengan ejen penyeludupan untuk bawa PATI

Ada pemandu bas bersubahat dengan ejen penyeludupan untuk bawa PATI

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Konsortium E-MutiaraBerhad (E-Mutiara) mendedahkan terdapat pemandu bas di syarikatnya sebelum ini bersekongkol dengan ejen pendatang asing tanpa izin (PATI) demi mengaut keuntungan lumayan.

Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail, berkata modus operandi yang dilakukan pemandu bas terbabit dengan mengambil PATI di lokasi tertentu yang dijanjikan.

“Kita mempunyai beberapa kes sebelum ini membabitkan kesalahan membawa PATI yang mana dua pemandu sebelum ini masing-masing sudah dihukum penjara selama tiga tahun.

“Kita juga mengesan dua pemandu bas melakukan perkara sama pada November tahun lalu dengan membawa PATI dari Johor ke Kelantan.

“Kita mengetahui perbuatan itu selepas mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada bas berkenaan yang mendapati mereka membawa beberapa PATI dengan mengambil di lokasi yang tidak sepatutnya berhenti,” katanya selepas Majlis Penyampaian Zakat kepada 300 penerima terdiri daripada asnaf, pelajar dan anak yatim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, susulan kejadian berkenaan, pihaknya membuat laporan polis dan pihaknya mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pemandu berusia 40-an itu.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemandu berkenaan menghilangkan diri dan dipercayai kini bertugas di syarikat bas lain.

“Disebabkan kesalahan yang dilakukan di kalangan pemandu bas ini, kita mahu kerajaan mempercepatkan pangkalan data pemandu pengangkutan awam yang kini dalam proses dibangunkan.

“Pangkalan data berkenaan bagi membolehkan segala kesalahan yang mereka lakukan direkodkan dan boleh menjadi rujukan kepada syarikat bas ekspres lain sekiranya mahu mengambil pemandu bas baharu.

“Jika tiada pangkalan data terbabit, pemandu yang melakukan kesalahan ini bebas bekerja di mana-mana sahaja. Sebagai contoh mereka diberhentikan di syarikat ini, namun akan bekerja di syarikat lain tanpa syarikat baharu itu mengetahui kesalahan lampau yang dilakukan,” katanya.

Katanya, pangkalan data pemandu itu sedikit sebanyak mampu mengekang kegiatan PATI menggunakan bas ekspres.

“Kita di pihak pengusaha sentiasa mengingatkan pemandu bas supaya tidak terjebak dengan kesalahan seperti itu termasuk bersekongkol dengan membawa PATI.

“Ini kerana jika dikesan oleh polis atau pihak berkuasa, bas terbabit akan disita dan sudah tentu mendatangkan kerugian besar kepada pengusaha bas,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top